Antara status anak emas Hadi Awang dan kejayaan Dr Sam di Terengganu


  • Politik
  • Selasa, 16 Jan 2024

Samsuri digelar sebagai 'anak emas' Hadi kerana kedudukannya sebagai Naib Presiden PAS tidak tergugat.

KEDUDUKAN kukuh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Naib Presiden PAS sejak 2019 hingga kini, sering menjadi pertikaian dalam kalangan pemimpin politik.

Ia dikatakan sebegitu kerana terdapat banyak suara mendakwa serta menggelarkan Samsuri yang mesra dengan panggilan Dr Sam sebagai 'anak emas' Presidennya iaitu Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Terbaharu, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari mendakwa bahawa Hadi cuba menggunakan Samsuri untuk memperbaiki kerosakan imej PAS yang melampau.

BACA LAGI: 'Daripada Samsuri, lebih baik BN yang wakili Kemaman'

KUALA LUMPUR, 13 Dis -- Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika Program Dialog Media bersama Presiden Pas di Pejabat Agung Pas, Jalan Raja Laut hari ini.--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Hadi Awang yang didakwa menggunakan Samsuri untuk menutup imej buruk PAS.

Pada Sabtu, Aziz dilaporkan berkata, Samsuri kelihatan tidak menyedari hakikat tersebut malah terus mendakwa beliau merupakan anak emas Hadi.

Bukan itu sahaja, Aziz turut mendakwa, PAS kini menjadi pertubuhan perkauman dan berhaluan kanan sama seperti Umno selepas ia bernasib tidak baik pada Pilihan Raya Umum (PRU Ke-12) pada 2008.

Beliau juga dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Marang dan dilaporkan mengaut kemenangan tanpa bertanding dalam pemilihan sempena Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Marang pada 2019.

Jawatan tertinggi PAS Marang dipertandingkan selepas penyandang merangkap Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Yahaya Ali mengumumkan tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 15 tahun lalu itu.

Bagaimanapun, selama hampir enam tahun Samsuri menyandang jawatan sebagai Naib Presiden PAS, keupayaannya dalam membawa perubahan untuk Terengganu tidak dapat dinafikan.

Selain daripada tanggungjawab yang digalasnya, Samsuri turut tidak terkecuali dalam memberi sumbangan kejayaan dan kemajuan termasuk pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

BACA LAGI: Ahmad Samsuri kekalkan penguasaan di Ru Rendang

1) Pertumbuhan ekonomi

2206791

Terengganu antara negeri yang dilihat semakin membangun.

Baru beberapa bulan dilantik sebagai Naib Presiden PAS pada 2019, nama Samsuri terus melonjak naik apabila kerajaan Terengganu dilaporkan menerima wang royalti minyak atau Wang Tunai Petroleum (WTP) keseluruhan sebanyak RM1.277 bilion pada tahun sama.

Lebih mengejutkan, jumlah yang diterima ketika itu adalah nilai selepas potongan hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan iaitu sebanyak 25 peratus atau RM129 juta.

Ia sekali gus menjadikan baki hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan hanya lebih RM300 juta dan dikatakan akan dilunaskan pada 2020.

Pada masa sama, itu membuatkan Terengganu menjadi negeri pertama bebas hutang sekiranya Kerajaan Persekutuan meneruskan potongan 25 peratus pada 2020.

Namun, sehingga kini, status hutang tersebut masih belum dijelaskan sama ada sudah lunas sepenuhnya atau tidak.

Bukan sekadar itu, Samsuri juga dilihat bijak menyusun startegi memajukan ekonomi Terengganu apabila nilai pelaburan negeri itu menunjukkan peningkatan setiap tahun iaitu RM770 (2019), RM2.950 (2020), RM2.930 (2021) dan RM3.740 (2022).

2) Kesejahteraan rakyat

Flash floods in Pekan Meru following heavy rain for about two hours yesterday afternoon.However, residents in areas at risk of flooding are reminded to be aware of the current situation..  — KK SHAM/The Star

Kerajaan Terengganu yang dilihat berusaha meringankan beban mangsa banjir.

Kemenangan Samsuri dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2023 merupakan bukti sokongan padu rakyat terhadapnya serta menunjukkan bahawa PAS bukan sebuah parti konservatif yang hanya membawa isu keagamaan atau kepentingan kaum.

Ia disokong oleh Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi yang menyatakan PAS kini semakin diterima masyarakat pelbagai kaum kerana berani menampilkan golongan profesional dan teknokrat sebagai calon.

Hal ini kerana, latar belakang Samsuri yang dilaporkan pernah menjadi pensyarah universiti, mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Aeroangkasa dan memegang jawatan setiausaha Hadi pada 2008 ketika berusia 38 tahun.

Justeru, Hussain menganggap kemenangan Samsuri sangat membantu dalam menyampaikan suara rakyat terus kepada kerajaan terutama apabila sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Walaupun sering dikaitkan dengan gelaran 'anak emas', kecekapan Samsuri untuk membantu penduduk setempat tidak boleh dinafikan lagi.

Jika boleh dilihat, kejayaan syarikat pelaburan induk strategik kerajaan negeri, Terengganu Inc dan rangkaian anak syarikatnya dilaporkan telah banyak memberi sumbangan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk insentif atau bantuan.

Antaranya adalah, Terengganu Inc pernah dilaporkan menyumbang sebanyak RM200,000 kepada Yayasan Diraja Sultan Mizan bagi program akademik, RM110,000 kepada National Stem Association Chapter, peruntukan RM2.06 juta untuk air percuma bagi surai dan masjid di seluruh negeri, sumbangan tablet di bawah inisiatif Berkat 2021 sebanyak RM1 juta serta RM1.6 juta disumbangkan untuk Krisis Air Berangan dan RM600,000 bagi Program Komuniti Ibu Tunggal di 32 DUN.

Manakala, penjawat awam negeri itu juga mendapat manfaat seperti bantuan khas perayaan Aidilfitri sebanyak RM700 pada 2023.

Terengganu sememangnya tidak dapat mengelak daripada terkena bencana alam seperti banjir dan kecekapan Samsuri dalam menjalankan tugasnya sekali lagi menarik sokongan rakyat.

Susulan itu, kerajaan Terengganu mengambil inisiatif mewujudkan kawalan perancangan pembangunan dengan pematuhan kepada Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) demi mengatasi risiko banjir di negeri itu pada musim tengkujuh.

Pihaknya turut dilaporkan membuat rujukan kepada Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir yang telah disiapkan bagi mengawal masalah banjir yang berlaku setiap tahun di Terengganu.

Samsuri pernah berkata, pihaknya mencadangkan kaedah pengkalisan banjir yang boleh diterapkan sebagai contoh, pembinaan rumah secara bertiang dan pembinaan struktur penghadang banjir (Flood Barrier) bagi premis sedia ada.

BACA LAGI: Tiada faktor 'wow', PAS tolak pelawaan sertai Kerajaan Perpaduan

3) Menaik taraf sektor pertanian

Screenshot (239)

Setiu diisytiharkan sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu. — Kerajaan Terengganu

Pada 2024, kerajaan Terengganu dilaporkan akan melaksanakan Pelan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu dalam tempoh lima tahun dengan menggariskan tujuh strategi untuk mengoptimumkan hasil pendapatan.

Ia dikatakan selari dengan perancangan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap hasil royalti petroleum dan gas serta persediaan menghadapi krisis kekurangan simpanan minyak.

Pelan tersebut juga menggariskan tiga objektif utama seperti mengoptimumkan sumber negeri sedia ada, mengeksplorasi sumber baharu negeri serta mencari peluang jana pendapatan baharu terutama dalam sektor teknologi hijau dan Unsur Nadir Bumi (REE).

Pada masa sama, kerajaan Terengganu dilihat sentiasa berusaha untuk mentransformasikan sektor agromakanan yang sekali gus menjadikannya sektor mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi melalui kerangka Dasar Agro Makanan Negara 2021 hingga 2023.

Samsuri turut pernah dilaporkan berkata, Projek Komersial Penanaman Kelapa di Kampung Banggol, Setiu antara usaha kerajaan negeri memperluaskan kawasan penanaman kelapa.

Di samping dapat meningkatkan taraf sektor pertanian di Terengganu, ia juga dikatakan dapat menjana pendapatan penduduk tempatan.

Ia wajar dengan cadangan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin iaitu 2021 sebagai Tahun Pertanian Negeri dengan tumpuan, usaha dan peruntukan kewangan diberikan sewajarnya bagi meningkatkan keupayaan sektor itu.

Baginda juga dilaporkan berpuas hati dengan visi pelan strategik yang diusulkan oleh Samsuri untuk menjadikan Terengganu sebagai pengeluar makanan utama negara.

Namun, di sebalik kejayaan dan pencapaian Samsuri, ada juga beberapa dakwaan lain yang dipalitkan terhadapnya termasuk isu melibatkan kesalahan prosedur penjualan tanah di Terengganu.

Mana tidaknya, ia menjadi lebih hangat apabila tanah itu dikatakan merupakan tanah kerajaan negeri yang dijual kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Meskipun begitu, Samsuri menafikannya dan mengatakan bahawa ia hanya satu isu yang sengaja ditimbulkan kerana sudah menjelan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram