SEORANG wanita berdepan detik menakutkan selepas mengalami gangguan seksual daripada seorang lelaki yang menunggang motosikal ketika sedang berjoging di sekitar Damansara, Damai, Selangor.
Video mengenai kejadian tersebut dikongsikan sendiri oleh wanita terbabit di akaun TikToknya, Nuwanaaaaaaaa pada Ahad.
Menurut hantaran berkenaan, mangsa pada awalnya sedang berjoging di kawasan tersebut sebelum menyedari dirinya diekori seorang lelaki yang menaiki motosikal.
Wanita terbabit berkata, lelaki itu dipercayai mengekorinya sebanyak dua kali dengan berpusing-pusing di tempatnya melakukan aktiviti tersebut.
Kemudiannya, individu berkenaan difahamkan cuba berbual bersama wanita tersebut dengan berpura-pura bertanyakan jalan.
"Lelaki itu berhentikan motosikalnya depan I (saya), nak bertanya. So, I jawab sahaja. Tapi I jawab acuh tak acuh sebab dah shaking (ketakutan). Lepas itu I terus bererdar," tulisnya dalam video tersebut.
Bagaimanapun, gangguan dihadapi wanita terbabit tidak berakhir selepas lelaki tersebut didapati terus mengekorinya.
Malah, mangsa mendakwa penunggang motosikal itu juga berpusing sebanyak empat kali di tempat sama sebelum kembali menghentikan motosikal di hadapannya.
Lebih menakutkan, lelaki berkenaan yang masih berada di atas motosikal dipercayai membuka seluarnya untuk membuat perkara tidak senonoh.
Ekoran daripada itu, wanita terbabit terus beredar dari lokasi tersebut.
Video terbabit dilihat turut berjaya merakam wajah lelaki berkenaan dan nombor pendaftaran motosikalnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata, semakan mendapati tiada laporan dibuat oleh mangsa.
"Kita menasihatkan mangsa untuk tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan, kes disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohamad Fakhrudin berkata, laporan berhubung kes itu ketika ini hanya dibuat oleh seorang pegawai polis berikutan penularan klip video tersebut.
"Ketika dia (pegawai polis) berada di pejabat pegawai penyiasat jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, telah terkesan klip video tersebut.
"Klip video itu memaparkan seorang wanita diganggu secara seksual oleh seorang lelaki menunggang motosikal sambil melakukan perbuatan tidak senonoh.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi bilik gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Magenderan di talian 017-3356810," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram