Ibu kecewa, dakwa guru cabul anak masih mengajar tanpa dikenakan tindakan undang-undang


  • Massa
  • Rabu, 10 Jan 2024

Azizah (kanan) ketika ditemui di Puncak Alam, Selangor pada Rabu.

KECEWA dengan sikap mengambil remeh pihak berkuasa, seorang ibu kecewa apabila mendakwa kes cabul melibatkan anak perempuannya di sekolah Sabak Bernam, Selangor pada 2019 sehingga kini masih belum selesai.

Mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Tiga ketika itu mendakwa menerima gangguan seksual daripada guru lelaki terbabit menerusi hantaran gambar di aplikasi WhatsApp.

Ibu mangsa, Azizah Muhammad Shaari, 59, mendakwa, mangsa disuruh untuk menghantar gambar dengan gaya lucah kepada suspek seperti menghisap jari tengah dan bentuk badan.

BACA LAGI : Polis buka kertas siasatan suspek cabul pelajar perempuan Tingkatan 2 di Jenjarom

photo_6120526017291467316_y

Azizah (tengah) ketika ditemui di sebuah premis di Puncak Alam, Selangor pada Rabu.

Azizah mendakwa, ia memberi kesan mendalam dan trauma teruk kepada anaknya.

"Anak saya sampai pernah nyaris untuk terjun daripada bangunan kerana terkesan dengan kejadian itu," dakwanya kepada Majoriti.

Mangsa bagaimanapun tidak hadir dalam sidang media tersebut.

Dalam pada itu, menurut peguamnya, Faizal Rahman, dia dan ahli keluarga mangsa sudah membawa kes itu kepada pihak berkuasa namun gagal menerima maklum balas.

Faizal mendakwa, ia bukan kes pertama, tetapi suspek dikesan sudah melakukan jenayah itu sejak 2016 lagi dan tiada sebarang tindakan pendakwaan diambil terhadapnya.

photo_6120526017291467312_y

Faizal yang turut hadir menjelaskan tentang kes tersebut.

"Ini bukan kali pertama suspek melakukan perkara itu dan boleh kata berpuluh mangsa terlibat dalam kes ini.

"Tetapi, cikgu ini sehingga sekarang tak didakwa dan pihak sekolah berkenaan hanya bertindak memindahkannya ke sekolah lain

"Kes sudah berlanjutan dari 2019 hingga 2024 dan suspek masih belum didakwa, jadi kami mohon untuk pihak berkuasa dan kerajaan memandang isu ini lebih serius," katanya.

Tambahnya, kes tersebut juga sudah disampaikan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Namun, dakwanya, tiada sebarang tindakan turut diambil terhadap suspek dan hanya pihak sekolah dan KPWKM yang didakwa memberikan maklum balas berhubung kejadian.

Majoriti sedang berusaha mendapatkan kenyataan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berhubung kes itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram