Pornografi 'pembunuh senyap' Gen Z


  • Sihat
  • Sabtu, 30 Dis 2023

Pornografi boleh mendedahkan seseorang kepada masalah akidah dan jenayah seksual. — Gambar hiasan

PORNOGRAFI adalah bahan lucah berbentuk tulisan, imej ataupun visual yang merangsang nafsu dan keinginan seksual.

Kajian mendapati menonton pornografi dengan kerap dapat menyebabkan masalah mental seperti kemurungan.

Malangnya, pornografi dianggap sebagai norma dalam kalangan segelintir masyarakAt kita yang kononnya berfikiran terbuka dan moden.

Hal ini menyebabkan pornografi menjadi satu ancaman kepada kesejahteraan masyarakat di negara ini.

Malah, rentetan daripada Perintah Kawalan Pergerakan akibat pandemic Covid-19 yang melanda negara sebelum ini menyebabkan penglibatan remaja terhadap internet semakin meningkat dan tidak terkawal sehingga remaja mudah terjebak ke dalam aktiviti pornografi sedangkan mereka sepatutnya menggunakan internet sebagai medium pembelajaran secara atas talian.

Keadaan ini membuka ruang yang besar kepada keterlibatan remaja dalam dunia internet.

Tanpa kawalan diri dan pemantauan ibu bapa, anak-anak remaja ini pasti akan terjerumus dalam gejala tidak sihat seperti aktiviti pornografi dan sebagainya.

Aktiviti pornografi yang berlaku di negara ini tidak sahaja melibatkan golongan dewasa malah turut melibatkan golongan remaja yang merupakan individu yang diharapkan menjadi pelapis kepimpinan negara.

Peranan ibu bapa di rumah sangatlah penting bagi memantau aktiviti harian anak-anak.

Gen Z atau Generasi Z merupakan generasi yang dilahirkan antara tahun 1998 hingga 2009.

Generasi ini membesar dalam dunia teknologi digital dan perkembangan media yang sangat pantas.

Selain daripada itu mereka adalah remaja yang dibesarkan dalam dimensi kehidupan yang penuh dengan cabaran.

Mereka diperlihatkan dengan insiden keganasan, pengaruh gejala sosial, kes-kes jenayah dan sebagainya secara langsung mahupun tidak langsung melalui sumber media.

Ramai golongan ibu bapa tidak menyangka anak-anak mereka berani membuka laman sesawang porno kerana kurang peka terhadap ancaman pornografi serta tidak memahami perkembangan seksual anak-anak mereka.

Antara ancaman yang bakal dihadapi jika kita tidak bendung aktiviti pornografi ini ialah peningkatan jenayah seksual seperti rogol, cabul, pedofilia, parafilia dan sebagainya.

Kita sering mendengar isu jenayah seksual dilaporkan di akhbar yang melibatkan kes rogol, cabul dan pedofilia.

Malah, pelaku jenayah seksual ini boleh terdorong kepada tahap membunuh mangsanya.

Kesan daripada aktiviti pornografi juga mampu mendorong seseorang individu melakukan perlakuan seksual seperti onani, zina dan sumbang mahram.

shutterstock_1040418790-1024x536

Menonton pornografi akan mengundang berlakunya jenayah. — Gambar hiasan

Apa yang menyedihkan, implikasi negatif daripada salah laku ini membawa kepada kehamilan luar nikah, pembuangan bayi serta penularan penyakit kelamin seperti HIV, AIDS dan sebagainya.

Meskipun dimaklumkan bahawa pornografi memberi kesan yang negatif namun bahannya mudah diperoleh menerusi internet.

Hal ini menyebabkan usaha untuk memisahkan remaja daripada gajet dan internet adalah sukar malah boleh dikatakan sebagai mustahil.

Apa yang mampu dilakukan adalah dengan mendidik mereka agar menggunakan sumber internet dan gajet dengan betul.

Mereka perlu diberi kesedaran tentang integriti dan tanggungjawab agar penggunaan media sosial tidak disalahgunakan sehingga membawa kepada gejala pornografi yang akan merosakkan akal, kesihatan fizikal, emosi dan juga akhlak mereka.

Langkah ini perlu dimulai dengan memberikan kefahaman dan kesedaran tentang bahaya penyimpangan seksual dan pornografi sehingga tahap para remaja ini memahami akan kemunculan implikasi kedua akibat daripada perbuatan ini.

Kempen kesedaran memerangi pornografi juga perlu disahut oleh semua pihak dan disusuli dengan tindakan yang sewajarnya. — Majoriti

Muhammad Afiq Hilmi Sabri, pelajar Universiti Sains Islam Malaysia

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram