DEMI menuntut ilmu dan masa depan yang lebih cerah, seorang pelajar lelaki di sebuah daerah pedalaman di Sabah sanggup meredah kawasan ladang kelapa sawit yang banjir dan becak untuk ke sekolah.
Melalui satu video tular di aplikasi WhatsApp pada Isnin memaparkan kanak-kanak lelaki berkenaan ditemani seorang wanita dipercayai ibunya dan dalam perjalanan menuju ke sekolah.
Namun, tidak dinyatakan lokasi dan tarikh sebenar kejadian itu berlaku.
"Demi menuntut ilmu. Semoga adik ini berjaya suatu hari nanti," tulis individu yang berkongsi video tersebut.
BACA LAGI: Golongan nelayan Sebuyau kecewa, projek jambatan tanpa tangga ibarat tempat 'training ninja'
Kedua-dua mereka dilihat terpaksa menempuh laluan yang sukar apabila kawasan tersebut kelihatan becak dan ditenggelami air di paras lutut dekat beberapa kawasan.
Lebih menyedihkan lagi, kelihatan tangan kanak-kanak tersebut berbalut dipercayai cedera dan terpaksa membuka kasutnya untuk mengelakkan daripada basah ketika melalui kawasan tersebut.
Turut kedengaran ibunya juga meminta dia berhati-hati dan tetapi pada masa yang sama memintanya meneruskan perjalanan agar tidak terlewat ke sekolah.
Video tersebut menjadi bualan ramai dan rata-rata yang melihat video berkenaan mendoakan kanak-kanak tersebut menjadi seorang yang berjaya pada suatu hari nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram