BEKAS jurulatih ragbi Majlis Sukan Negara (MSN) meninggal dunia selepas rebah ketika berjoging di Taman Riadah Dahliasari, Bandar Sungai Buaya, di Hulu Selangor pada Sabtu.
Sebelum kejadian, lelaki warga emas berusia 75 tahun itu dikatakan memulakan senaman bersama komuniti taman seawal pukul 7 pagi.
Mangsa kemudian berjalan di atas trek di kawasan kejadian sebelum rebah dan tidak sedarkan diri pada 8.30 pagi.
BACA LAGI: [VIDEO] Kakitangan pentadbir UiTM meninggal dunia ketika berjoging
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, pada pukul 9 pagi, lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh kakitangan hospital yang dipanggil memberi bantuan kecemasan.
“Hasil semakan mendapati mangsa adalah bekas jurulatih ragbi MSN sejak berusia 30 tahun.
“Mangsa mempunyai dua sejarah penyakit iaitu jantung selama dua tahun dan darah tinggi (20 tahun),” katanya memetik laporan media.
Ahmad Faizal berkata, siasatan lanjut polis tidak menemui sebarang unsur jenayah pada mangsa.
Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram