[VIDEO] Tiada lagi majlis pelancaran kempen keselamatan ketika waktu perayaan — Anthony Loke


  • Primer
  • Jumaat, 12 Jan 2024

Anthony Loke bercakap kepada pemberita selepas majlis Amanat Tahun Baharu 2024 Kementerian Pengangkutan pada Jumaat.

KEMENTERIAN Pengangkutan tidak lagi akan membuat sebarang pelancaran rasmi kempen keselamatan jalan raya ketika musim perayaan.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu diambil kerana Kerajaan mahu memastikan supaya rakyat Malaysia tidak hanya memikirkan mengenai keselamatan jalan raya semasa tempoh tersebut.

Beliau berkata, tindakan menghentikan pelancaran rasmi tersebut akan turut membantu kerajaan menjimatkan perbelanjaan kerana setiap pelancaran yang dianjurkan dianggar menelan belanja sehingga RM200,000.

“Apa yang kementerian mesti fokus ialah pengisiannya dan bukannya bentuk. Semua pelancaran rasmi ini tidak perlu.

“Jangan salah faham, penguatkuasaan akan diteruskan dan operasi seperti itu untuk memastikan keselamatan jalan raya akan diteruskan semasa perayaan, cuma tiada pelancaran (majlis) rasmi.

“Saya rasa majlis sebegini tidak membawa makna kerana kami juga boleh menghantar maklumat melalui media,” kata Loke kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2024 kepada kakitangan kementerian itu pada Jumaat.

BACA LAGI: Lelaki putus kepala terlibat kemalangan langgar trak pikap tepi jalan di lebuh raya WCE

BACA LAGI: [VIDEO] Tak tahu jalan punca pemandu Myvi melawan arus, sebabkan kemalangan 5 kenderaan di JB

Beliau berkata, perbelanjaan yang sebelum ini digunakan untuk acara pelancaran itu boleh disalurkan bagi pelaksanaan inisiatif keselamatan yang lebih bermakna untuk orang ramai termasuk program seperti pertukaran topi keledar motosikal baharu.

"Ribuan datang untuk menukar topi keledar terpakai mereka dengan yang baharu setiap kali kami menjalankan inisiatif itu. Kadangkala, topi keledar terpakai yang diterima dalam keadaan sangat teruk," katanya.

Anthony Loke bagaimanapun berkata, pihak swasta boleh meneruskan kempen keselamatan jalan raya dengan menggunakan perbelanjaan sendiri.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan nilai hayat statistik dikeluarkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia pada 2018, negara dianggarkan menelan kerugian sebanyak RM3.18 juta bagi setiap insidein kehilangan nyawa yang berlaku di jalan raya.

"Ini bermakna dengan jumlah kematian yang direkodkan di jalan raya, negara kita kerugian RM56.15 juta sehari atau RM21 bilion setahun," tambah Loke. — The Star/ZAKIAH KOYA

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram