Tiada bukti ketidakupayaan, faktor fisiologi pengaruhi prestasi kru penerbangan nahas pesawat di Shah Alam


  • Massa
  • Jumaat, 15 Sep 2023

Petugas Penerbangan ADMAL Sdn Bhd melakukan kerja-kerja membawa keluar serpihan pesawat di lokasi nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina pada 21 Ogos lalu. — Bernama

LAPORAN awal nahas pesawat Beechcraft Premier 1 terhempas dan mengorbankan 10 nyawa di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu mendapati juruterbang pesawat tersebut layak mengendalikan kapal terbang itu berdasarkan peraturan yang sedia ada.

Dalam laporan awal yang dikeluarkan pagi Jumaat, Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) Kementerian Pengangkutan berkata, pesawat itu juga mempunyai sijil kelayakan udara yang sah dan telah diselenggara mengikut peraturan.

Hasil siasatan awal mendapati pesawat mempunyai sijil kelayakan udara sah dan diselenggara mengikut peraturan, juga mempunyai lesen dan layak untuk melakukan penerbangan mengikut peraturan sedia ada.

Bagaimanapun, tiada transkrip 30 minit terakhir rakaman suara dari kokpit dikeluarkan, walaupun pemulihan data daripada perakam suara kokpit (CVR) berjaya.

"Analisis awal rakaman CVR yang dipulihkan telah memberikan petunjuk kritikal untuk mendedahkan punca kemalangan, dengan tumpuan pada sistem kawalan penerbangan pesawat.

"Hasil daripada siasatan dan pemeriksaan yang belum selesai bagi bahagian dan komponen pesawat yang berkaitan di Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) dan makmal OEM (AS) adalah perlu untuk menyediakan bukti kolaboratif dan/atau konklusif dalam menentukan punca kemalangan itu," menurut laporan tersebut.

SHAH ALAM, 18 Ogos -- Anggota pasukan forensik Polis Diraja Malaysia menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata ketika ini, anggota keselamatan sedang melakukan pembersihan terakhir dan mengesan kemungkinan baki cebisan mayat mangsa di tempat kejadian.-- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Anggota pasukan forensik Polis Diraja Malaysia menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian pesawat terhempas pada 18 Ogos lalu. — Bernama

Kementerian Pengangkutan berkata, penyerahan laporan awal dalam tempoh 30 hari memenuhi piawaian Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

"Kementerian ingin mengucapkan terima kasih kepada NTSB dan juga Biro Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura (TSIB) atas bantuan yang diberikan kepada penyiasatan AAIB melalui wakil bertauliah masing-masing, bersama penasihat teknikal mereka," kata kenyataan itu.

Kementerian juga menegaskan laporan awal itu hanyalah penemuan awal yang dipercayai tepat sehingga kini diterbitkan.

“Laporan ini mengandungi kenyataan fakta yang telah ditentukan sehingga masa dikeluarkan.

"Ia mesti dianggap sebagai tentatif, dan tertakluk kepada pindaan atau pembetulan jika bukti tambahan tersedia," tambahnya.

Kemas kini mengenai penyiasatan akan bergantung pada rakaman suara selama 30 minit daripada CVR.

Pada 17 Ogos lalu, negara dikejutkan dengan insiden pesawat ringan yang terhempas di Elmina, Selangor dan mengorbankan 10 individu termasuk pemandu kereta dan penunggang motosikal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangi, Datuk Seri Johari Harun antara individu disahkan maut di samping dua juruterbang dan enam penumpang dalam kejadian itu yang berlaku pada pukul 2.48 petang. The Star/ Meng Yew Hoong

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram