[VIDEO] Nasib tong tak meletup, lori bawa muatan gas terlibat nahas 4 kenderaan di Sandakan


  • 112
  • Rabu, 10 Jan 2024

Tangkap layar kejadian kemalangan yang terjadi membabitkan empat buah kenderaan di Jalan Telupid – Sandakan, Sabah pada Rabu.

SATU kemalangan terjadi membabitkan empat buah kenderaan yang bertembung di Batu 36, Jalan Telupid – Sandakan, Sabah pada Rabu.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 12.12 tengah hari Rabu.

"Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Beluran bersama kenderaan utiliti diketuai PBK II Mohd Arsad Kadir telah dikejarkan ke lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Antara kenderaan yang terlibat adalah lori treler 20 tan yang membawa muatan tanah, lori enam tan yang membawa muatan tong gas dan dua kereta jenis pacuan empat roda.

Dalam pada itu, nahas jalan raya terbabit mengakibatkan kesesakan jalan raya sejauh lima kilometer bermula dari Batu 32, Check Point Sandakan hingga ke lokasi kejadian.

Hal itu turut mengakibatkan banyak kenderaan memilih untuk berhenti sementara di tepi jalan susulan kesesakan lalu lintas yang teruk.

Malah, turut dilihat, banyak tong gas terbalik bertaburan di atas jalan raya selepas pelanggaran itu terjadi.

Bagaimanapun, empat pemandu lelaki kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan dilaporkan telah keluar dari kenderaan masing-masing sebelum pasukan bomba tiba.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen bersyukur apabila insiden yang terjadi tidak menjadi lebih buruk.

"Semoga dipermudahkan urusan semua yang terlibat," tulis Fitri Ayumi.

"Nasib tak meletup tu tong gas," tulis Azuqi Ana. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram