Polis buka kertas siasatan suspek cabul pelajar perempuan Tingkatan 2 di Jenjarom


  • 112
  • Jumaat, 04 Ogos 2023

KES disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun.

POLIS kini sedang menyiasat satu kes tular di media sosial berhubung dakwaan seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua dicabul ketika dalam perjalanan ke sekolah di di Jalan Haji Masjoyo, Jenjarom, Kuala Langat, Selangor pada Rabu lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor, pihaknya menerima laporan yang dibuat bapa mangsa yang berusia 42 tahun pada pukul 11.15 pagi Rabu iaitu selepas kejadian itu berlaku.

"Dalam laporan tersebut, bapa mangsa memberitahu anak perempuannya berusia 14 tahun yang menunggang motosikal bersendirian ke sekolah mendakwa berlaku gangguan seksual semasa berada di kawasan tersebut.

"Mangsa dikatakan diekori oleh seorang lelaki yang tidak dikenalinya.

"Suspek yang disyaki warga tempatan, datang dari arah belakang lalu meraba bahagian sulit mangsa dan terus beredar," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Ahmad Ridhwan, pihaknya sudah membuka satu kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan yang dibuat oleh mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dihukum sebat jika disabitkan kesalahan.

Pihak polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222.

Terdahulu, tular di media sosial satu laporan polis yang dipercayai dibuat bapa mangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram