IBU bapa pelajar sebuah sekolah berasrama penuh di Pekan, Pahang mendakwa hostel yang menempatkan pelajar perempuan menjadi sasaran penceroboh.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Facebook oleh Shaharul Azhar pada Ahad, dia mendakwa bahawa perkara tersebut menimbulkan kebimbangan dan ketakutan para ibu bapa pelajar wanita yang berada di sekolah tersebut.
Dakwanya, selain diceroboh, terdapat juga pelajar wanita yang pernah diraba dan dicabul oleh individu tidak dikenali di lokasi sama.
"Bilik hostel pelajar wanita MRSM diceroboh, ada pelajar diraba dan dicabul! Kejadian berulang kali terjadi," tulisnya.
Susulan kejadian itu,dia menyeru agar pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya demi keselamatan pelajar.
"Takkan nak tunggu anak-anak dirogol baru kalian nak buat laporan polis?.
"Warden dan pihak pengurusan khususnya, buat penambahbaikan keselamatan. Pihak polis pun wajar dilaporkan kejadian ceroboh serta cabul ini kepada mereka kerana kejadian dipercayai dilakukan oleh orang luar," tulisnya lagi.
Menurutnya lagi, kejadian tersebut telah memberi kesan kepada emosi para pelajar dan menimbulkan ketakutan pada mereka terutama pada waktu malam.
"Anak-anak tertekan dan terkesan. Ada yang takut untuk tidur di malam hari.
"Mohon perhatian sewajarnya daripada Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki," tambahnya lagi.
Pada masa sama, pengguna Facebook berkenaan turut memuat naik gambar menunjukkan perbualan para ibu bapa yang mengadu tentang anak mereka di sekolah itu.
Tangkapan skrin menunjukkan mesej yang dihantar oleh ibu bapa pelajar di MRSM berikut. — Facebook/Shaharul Azhar
"Anak saya baru hubungi beritahu malam tadi ada lagi 'ninja' itu datang, mereka syak si pelaku ada tiga orang.
"Malam tadi mereka plan memang tidur lambat sebab nak tangkap si pelaku dan pelajar lelaki tolong jadi guard di hadapan surau, tetapi pukul 12 dihalau oleh warden.
"Takut bila dengar anak sendiri yang cakap ada kawan-kawan menangis sebab diraba," kata salah seorang ibu bapa pelajar di sekolah berkenaan.
Sementara itu, setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak polis atau Mara berhubung kejadian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram