Populasi babi hutan makin berkurang punca pak belang mengganas


  • Massa
  • Isnin, 04 Dis 2023

Berdasarkan hasil Survei Harimau Kebangsaan pertama yang dilaksanakan sehingga 2020, dianggarkan terdapat kurang daripada 150 harimau liar di Semenanjung Malaysia. — Gambar Hiasan

PENURUNAN populasi babi hutan menjadi antara faktor harimau semakin mengganas hingga berani menyerang manusia dan haiwan ternakan di sesebuah kawasan.

Pengarah Wildlife Conservation Society (WCS) Malaysia, Dr Mark Rayan Darmaraj berkata, pengurangan populasi salah satu mangsa utama harimau itu adalah disebabkan kemunculan penyakit demam babi Afrika atau African Swine Fever (ASF).

Menurutnya, wabak itu melanda spesies babi, tak kira liar atau domestik dan mempunyai kadar kematian tinggi yang boleh mencapai sehingga 100 peratus.

"ASF merebak di rantau Asia sejak beberapa tahun lepas dan mula dikesan di Semenanjung Malaysia sejak tahun 2022.

"Sebagai contoh, berdasarkan kadar gambar yang direkodkan oleh perangkap kamera, terdapat penurunan mendadak dalam populasi babi hutan dan babi berjanggut di Landskap Endau Rompin, iaitu lokasi WCS bekerja.

"Pasukan lapangan kami turut menjumpai beberapa bangkai babi yang mati akibat ASF, seperti yang disahkan oleh Jabatan Veterinar," katanya kepada Majoriti.

og_fd655330-aa53-4ba6-b712-1b1886e492cf

Pengarah WCS Malaysia, Dr Mark Rayan Darmaraj menunjukkan kesan cakaran harimau di sebatang pokok. — WCSMalaysia

Ujar Mark Rayan, apabila populasi mangsa harimau seperti babi menjunam, dan dalam masa sama ia tidak mempunyai sumber makanan alternatif lain seperti rusa yang juga diancam pemburuan haram, tidak mustahil untuk haiwan karnivor itu bertindak mencari sumber makanan lain di pinggir hutan.

"Antaranya termasuk binatang ternakan yang merupakan sasaran lebih mudah jika pemilik tidak melaksanakan langkah mitigasi seperti pembinaan kandang untuk melindungi haiwan tersebut," katanya.

Beliau menjelaskan, selain ASF, antara faktor lain yang menyebabkan peningkatan konflik manusia-harimau adalah hutan yang semakin mengecil dan gangguan habitat disebabkan aktiviti manusia.

Tambahnya lagi, keadaan tersebut boleh menyebabkan harimau merayau keluar dari habitat asal ke ladang atau penempatan penduduk di pinggir hutan.

Selain itu, konflik manusia-harimau juga boleh berlaku apabila keadaan fizikal harimau terjejas akibat kecederaan sama ada terkena jerat atau peluru.

1421549

Wabak ASF menyerang semua spesies babi, tak kira liar atau domestik dan mempunyai kadar kematian tinggi yang boleh mencapai sehingga 100 peratus. — Gambar Hiasan

"Peningkatan usia haiwan tersebut turut menyebabkan ia tidak dapat memburu mangsa liar.

"Jadi peningkatan konflik manusia-harimau ini tidak semestinya hanya disebabkan oleh satu faktor," jelasnya.

Menurutnya, populasi harimau di Malaysia kini berada pada tahap sangat membimbangkan.

Mark Rayan memberitahu, berdasarkan hasil Survei Harimau Kebangsaan pertama yang dilaksanakan sehingga 2020, dianggarkan terdapat kurang daripada 150 harimau liar di Semenanjung Malaysia.

Ujarnya, kes konflik harimau yang menyebabkan kematian orang awam, memaksa langkah untuk menangkap harimau tersebut dan dipindahkan ke fasiliti awam seperti zoo.

"Ini akan menyebabkan pengurangan dalam populasi harimau liar, tetapi ini adalah langkah yang akan selalu diambil oleh pihak berkuasa untuk kes serangan berulang ke atas manusia.

The dwellings in the illegal settlement have been demolished following the arrests of the undocumented Indonesians and their families.

Antara faktor lain yang menyebabkan peningkatan konflik manusia-harimau adalah hutan yang semakin mengecil dan gangguan habitat disebabkan aktiviti manusia. — Gambar Hiasan

"Bagaimanapun, adalah penting untuk mengenal pasti harimau yang ditangkap itu adalah yang menyebabkan konflik, bukan harimau lain yang mungkin merayau di kawasan sama.

"Ia adalah kerana ada kemungkinan untuk harimau yang tidak bersalah diperangkap," kata beliau.

Sementara itu, sebagai langkah mengelakkan lebih banyak insiden serangan berlaku pada masa akan datang, Mark Rayan berkata, manusia perlu mengurangkan sebarang aktiviti yang menyebabkan gangguan kepada hidupan liar.

Seterusnya, pemburuan haram sama ada ke atas harimau atau mangsa harimau juga patut dibendung untuk mengelakkan harimau daripada mati atau tercedera, dan supaya mangsa harimau mencukupi.

"Penting juga untuk meningkatkan populasi mangsa utama harimau seperti rusa bagi membantu memulihkan populasi harimau dan sebagai penampan terhadap pengurangan spesis mangsa lain seperti babi hutan akibat penyakit atau wabak," katanya.

Ujar beliau, secara umumnya, terdapat beberapa langkah keselamatan yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko serangan harimau.

Jelasnya, sebagai contoh, pekerja ladang atau penoreh getah disyorkan untuk sentiasa bekerja dalam kumpulan atau sekurang-kurangnya berempat.

"Kawasan semak dalam kebun atau ladang dan di sempadan hutan serta ladang harus dibersihkan untuk mengelak harimau daripada bersembunyi dan menghindari haiwan mangsa harimau memasuki kawasan berkenaan.

"Langkah-langkah lain termasuk memakai pakaian terang, membuat bunyi sewaktu bekerja dan elakkan bekerja pada waktu malam atau dalam gelap.

"Jika terdapat serangan ke atas manusia, pihak ladang perlu segera lapor kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan menilai sama ada kerja patut dihentikan untuk sementara waktu sehingga keadaan lebih selamat," ujarnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram