[VIDEO] Tidak sampai sebulan, lagi penoreh getah maut di Gua Musang dibaham pak belang


  • 112
  • Khamis, 30 Nov 2023

Mayat mangsa dijumpai dalam keadaan tidak sempurna dengan kesan kecederaan di beberapa anggota badan. — WhatsApp/OrangAwam

PENDUDUK di Kampung Kuala Tol, Gua Musang, Kelantan meluahkan rasa risau selepas memikirkan kejadian harimau belang yang semakin rakus menyerang penduduk tempatan.

Manakan tidak, dalam bulan ini sahaja dua kejadian ngeri membabitkan haiwan pemangsa berkenaan menyerang penduduk di kawasan berhampiran sehingga menyebabkan kematian.

Terbaharu, seorang lagi lelaki maut disyaki diserang harimau belang yang sama dalam satu kejadian pada Rabu.

Insiden ngeri tersebut turut dikongsikan melalui aplikasi WhatsApp pada Khamis.

"Ada orang masa menoreh getah kena serang harimau semalam (Rabu). Harimau yang sama sebelum ini, kena seret sampai atas bukit.

"Makin jadi sudah serangan harimau ini. Dari Kampung Meranto sampai ke sini dah," tulis individu tersebut.

Dia turut berkongsi beberapa gambar dan video penemuan mayat mangsa yang diserang harimau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo mengesahkan kejadian terbabit dalam satu kenyataan.

Katanya, lelaki berkenaan dikenali sebagai Shabaini, 36, dan mayatnya dijumpai dalam keadaan tidak sempurna dengan kesan kecederaan di leher serta hilang tangan kanan, kedua ibu jari kaki serta sebahagian bawah badan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan anggota polis, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan penduduk setempat dilancarkan selepas pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan mangsa pada pukul 1.30 tengah hari Rabu.

“Hasil operasi kira-kira satu jam di tempat kejadian, pasukan SAR menemukan mayat mangsa di kawasan cerun kira-kira 200 meter dari lokasi motosikal mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Choon Foo, pasukan SAR membawa keluar mayat mangsa pada pukul 6.16 petang Rabu dan tiba di Unit Forensik Hospital Gua Musang pada pukul 7 malam untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Pihak polis menasihatkan masyarakat setempat yang keluar bekerja agar bergerak secara berkumpulan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Pada 12 November lepas, seorang lelaki warga Myanmar, Ahka Soe Ya, 22, ditemukan maut dipercayai diserang harimau di sebuah ladang getah di Kampung Meranto.

Kurang 48 jam sebelum itu, mayat seorang lelaki warga Indonesia, Lalu Sukarya Yahya, 42, ditemukan dalam keadaan tidak sempurna di sebuah ladang di Hutan Simpan, Kampung Meranto, juga dipercayai angkara harimau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram