Cubaan lelaki warga asing lari, terjun dalam Sungai Melaka gagal lepas kena cekup dengan Imigresen


  • 112
  • Jumaat, 05 Jan 2024

Lelaki Indonesia (tengah) yang ditangkap ketika cuba untuk terjun dan berenang di Sungai Melaka ketika operasi serbuan dilakukan oleh JIM Melaka pada Khamis. — JIM Melaka

SEORANG lelaki warga asing nekad terjun ke dalam sungai berhadapan Kampung Morten, Melaka kerana panik melihat puluhan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka melakukan operasi penguatkuasaan pada Khamis.

Pengarah Imigresen Negeri, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, kejadian berlaku ketika pihaknya menyerbu dan memeriksa premis penjaja makanan sekitar persisir Sungai Melaka menerusi OPS Selera yang dijalankan pada pukul 2 petang hingga 11 malam.

Bagaimanapun, cubaan lelaki warga Indonesia berusia 20-an itu dilaporkan gagal apabila berjaya ditahan penguat kuasa JIM sejurus dia berjaya berenang menyeberangi sungai.

photo_6104670161970772762_y

Sekitar operasi serbuan yang dilakukan di sekitar persisir Sungai Melaka, Melaka pada Khamis. — JIM Melaka

Anirwan bekata, operasi itu dijalankan di sekitar Bandaraya Melaka bertujuan membanteras pendatang tanpa izin (PATI) dan pihaknya turut menerima aduan berkaitan warga asing yang bekerja menjual makanan di sekitar Sungai Melaka.

BACA LAGI: Peniaga tempatan mengaku warga asing buat masalah, PGA patut lebih awal serbu mini Dhaka'

"Sebanyak 10 premis diperiksa termasuk sebuah kelab golf, pusat mencuci kenderaan, kebun sayur dan beberapa penempatan warga asing.

"Seramai 70 warga asing diperiksa dan hasilnya, kita menangkap 36 orang yang terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita Myanmar, 12 lelaki dan empat wanita Indonesia, lima lelaki Sri Lanka dan tujuh lelaki Bangladesh.

"Semua ditahan berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun kerana disyaki bekerja tanpa pas atau permit kerja yang sah dan melanggar syarat permit yang dikeluarkan," katanya dalam satu kenyataan.

photo_6104670161970772763_x

JIM turut memeriksa beberapa premis makanan di lokasi berkenaan. — JIM Melaka

Katanaya, pihaknya turut mengeluarkan 11 saman kepada majikan untuk hadir bagi membantu siasatan.

BACA LAGI: 'Bil hospital sampai beribu', doktor jelaskan sebab PATI jadi beban sistem kesihatan negara

Anirwan menjelaskan, antara kesalahan dikesan adalah mengikut Seksyen 6( 1)( c ) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan atau permit kerja dengan bekerja secara tidak sah.

"Operasi penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan bertumpu kepada lokasi 'panas' yang menjadi tumpuan warga asing," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram