[VIDEO] 'Bil hospital sampai beribu', doktor jelaskan sebab PATI jadi beban sistem kesihatan negara


  • Massa
  • Selasa, 26 Dis 2023

Isu lambakan warga asing atau PATI yang dikatakan menjadi beban kepada negara. — Gambar hiasan/Bernama

ISU lambakan warga asing atau pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia kini semakin hangat diperkatakan selepas operasi tangkapan secara besar-besaran oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kuala Lumpur sebelum ini dilakukan.

Ia susulan pelbagai aduan dan keluhan yang dibuat oleh majoriti penduduk tempatan kerana kehadiran sebahagian daripada mereka sudah menjejaskan pembangunan serta ekonomi negara.

Ia jelas menunjukkan satu keadaan yang tidak sihat apabila lambakan golongan tersebut menjadi beban kepada negara.

Terbaharu, salah seorang doktor tempatan memuat naik video penjelasan tentang mengapa ia boleh menjadi masalah serius terutamanya dari sudut sistem kesihatan.

msg1050426791-21228

Tangkap layar video memaparkan penjelasan seorang doktor tentang PATI yang menjadi beban kepada negara.

Menerusi video yang dikongsikan di TikTok @alepza11, dia mendakwa, pendatang asing tanpa izin boleh menjadi satu bebanan apabila sudah menggunakan sumber negara dengan bebas.

"Saya nak cakap dari sudut kesihatan, contohnya apabila mereka menggunakan sumber negara kita.

"Katakanlah mereka datang nak bersalin, kena masuk wad. Deposit sekurang-kurangnya RM1,000, kalau bersalin biasa RM3,000 dan kalau pembedahan pula sekurang-kurangnya RM7,000 sehingga RM8,000.

"Siapa yang akan bayar semua bil itu, takkan nak tahan di wad sampai bayar semua bil?," katanya.

Bukan itu sahaja, dakwanya, ia akan menjadi satu masalah apabila pihak hospital yang terpaksa menanggung jumlah bil yang banyak kerana PATI itu sendiri yang tidak mampu untuk membayarnya.

"Jadi, kita terpaksa keluarkan mereka dari wad, tapi bila sudah buat begitu, adakah kita akan jumpa mereka kembali?.

@alepza11 Selagi tak selesaikan punca, selagi tu tak selesai masalah. #dralphazaki #LearnOnTikTok ♬ original sound - Alpha Zaki

"Tidak. Hal ini kerana mereka sendiri pun tiada dokumen lengkap," jelasnya.

Tambahnya, ia merupakan beban kewangan yang perlu ditanggung unit kesihatan di Malaysia untuk golongan seperti itu.

Pada masa sama, dalam video sama, pengguna akaun tersebut juga sempat memberi cadangan supaya masalah itu dapat ditangani sebaik mungkin.

Penangkapan secara besar-besaran sebelum ini katanya sememangnya wajar namun, tangkapan juga harus dilakukan terhadap pihak atasan yang terlibat dalam membawa masuk PATI.

"Tahniah, ia suatu usaha yang baik, tetapi ia tetap tidak akan selesaikan masalah ini.

"Kerana yang ditangkap itu adalah orang bawahan. Operasi itu adalah sekadar kelegaan jangka masa pendek.

"Jadi, orang yang patut ditangkap adalah orang tengah atau atasan seperti majikan, pihak yang mengeluarkan lesen perniagaan atau siapa yang bawa masuk mereka," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram