Elak risiko banjir, JPNT sedia pindahkan calon SPM ke lokasi selamat


  • Primer
  • Ahad, 31 Dis 2023

Pelajar SPM di Terengganu akan disediakan asrama atau tempat berdekatan bagi memudahkan mereka menduduki peperiksaan jika banjir melanda. — Gambar hiasan/Bernama

SEBANYAK 16 pusat peperiksaan yang dijadikan pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Terengganu dikenal pasti berisiko dilanda banjir gelombang keempat.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Shafruddin Ali Hussin berkata, ia melibatkan 224 pelajar di daerah Hulu Terengganu, Setiu, Dungun dan Besut.

Sehubungan itu, pihak Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) telah membuat persiapan termasuk memindahkan pelajar ke asrama atau sekolah berdekatan supaya pelajar boleh menduduki peperiksaan mengikut jadual yang ditetapkan iaitu bermula 31 Januari hingga 7 Mac 2024.

"Bagi Terengganu, kita dah kenal pasti 224 pelajar yang akan duduki SPM mungkin hadapi masalah dari segi lokaliti jika banjir berlaku lagi.

"Bagaimanapun, tindakan telah diambil di peringkat JPNT dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk tempatkan pelajar di asrama atau di tempat terdekat dengan pusat peperiksaan untuk pastikan mereka boleh ambil peperiksaan seperti dirancang," katanya ketika ditemui selepas operasi pembersihan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Las, Permaisuri, Terengganu pada Ahad.

msg1050426791-21429

Pasukan sukarelawan KPM yang bergotong-royong membersihkan kawasan SK Sungai Las yang terjejas akibat banjir baru-baru ini. — Bernama

Sebanyak 37 sukarelawan Kementerian Pendidikan (KPM) terlibat dalam operasi berkenaan.

Dalam pada itu, Shafruddin berkata, jumlah kerugian dihadapi sekolah akibat tiga gelombang banjir di Terengganu baru-baru ini dianggarkan sebanyak RM340,000 yang melibatkan kerosakan perabot dan kelengkapan.

Perkara itu menurutnya, telah dikemukakan kepada KPM untuk tindakan lanjut dan peruntukan akan disalurkan kepada sekolah terlibat dalam masa terdekat.

"Kerugian ini melibatkan kerosakan seperti perabot, pintu, tidak termasuk buku teks dan lain-lain. Kita dah angkat perkara ini ke KPM, insya-ALLAH peruntukan akan turun dalam masa terdekat untuk baik pulih apa yang rosak," katanya.

Shafruddin berkata, keseluruhannya, sebanyak 53 sekolah di lapan daerah di negeri itu terjejas akibat tiga gelombang banjir yang melanda Terengganu bermula 20 November lepas, manakala 79 sekolah pula telah dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) untuk menempatkan mangsa banjir di kesemua daerah.

"Operasi pembersihan di semua sekolah yang terjejas dan dijadikan PPS dijangka selesai pada Ahad. Cuma di PPS SK Tanjung Pati, Dungun sahaja yang belum siap kerana masih ada mangsa banjir di situ.

"Tetapi, pada Isnin, kita jangka dah boleh bersihkan PPS berkenaan dan semua pelajar boleh memulakan sesi persekolahan seperti jadual asal. Terima kasih kepada semua agensi yang membantu dalam operasi pembersihan sekolah di semua tempat," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram