Bersatu dihantui sejarah berulang, apa masa depan 4 MP tukar kem sokongan?


  • Politik
  • Ahad, 12 Nov 2023

Dari kiri: Iskandar, Suhaili, Mohd Azizi dan Zahari Kechik merupakan empat ahli Parlimen pembangkang yang secara terbuka menyatakan sokongan terhadap Anwar.

SEJAK tempoh sebulan lalu, politik negara dihangatkan dengan keputusan beberapa ahli Parlimen Pembangkang yang secara terbuka menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkembangan yang melibatkan wakil rakyat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu merupakan satu berita agak mengejutkan.

Ini kerana ia berlaku ketika pimpinan utama gabungan pembangkang, Perikatan Nasional (PN) yang sebelum itu dilaporkan berulang kali memberikan ancaman mengenai kemungkinan berlakunya pertukaran kerajaan.

Naratif tersebut juga dilihat rancak dimainkan susulan daripada pencapaian memberangsangkan dalam keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) di enam negeri Ogos lalu.

Untuk rekod, empat wakil rakyat Bersatu yang mengambil mengisytihar menyokong Anwar ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim; dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.

Perkembangan tersebut dilihat menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan masa depan dan status keempat-empat ahli Parlimen tersebut.

Ini kerana, seperti yang diketahui, kerajaan sebelum ini sudah pun meluluskan Akta Anti Lompat Parti yang sudah berkuat kuasa sejak awal Oktober tahun lalu.

Secara asasnya, akta berkenaan merupakan undang-undang yang diwujudkan bertujuan bagi mengelakkan mana-mana ahli Parlimen untuk bertukar parti selepas dipilih pada pilihan raya umum (PRU).

Penguatkuasaan akta tersebut dilihat sangat signifikan dalam membantu mengelakkan berlakunya ketidaktentuan politik yang berpunca daripada tindakan sesetengah ahli Parlimen sehingga menumbangkan kerajaan.

Sebelum itu, negara mengalami sebanyak tiga kali pertukaran kerajaan hanya dalam tempoh tidak sampai tiga tahun bermula 2020 hingga 2021.

Tindakan nyata sokongan kepada kerajaan tidak dikira lompat parti

Deputy Speaker Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon (R) chairing  the second meeting of the the 3rd session of the 14the Parliament  in  Dewan RakyatAZHAR MAHFOF/The Star (13/7/2020)

Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan di Dewan Rakyat pada tahun lalu diwartakan pada 6 September 2022. — Gambar hiasan

Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, terdapat tiga jenis tindakan menyebabkan seseorang ahli Parlimen terpaksa berhenti daripada menjadi ahli Dewan Rakyat dan perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi.

Tiga tindakan tersebut adalah pertama apabila wakil rakyat terbabit memilih menukar parti; kedua, menang dengan tiket Bebas kemudian memilih masuk parti dan ketiga, memilih keluar parti untuk menyertai Bebas.

Menurut Shamrahayu, ahli Dewan Rakyat juga tidak dikira lompat parti dan perlu mengosongkan kerusi sekiranya dia dipecat daripada parti.

Dengan mengambil kira situasi tersebut, keempat-empat ahli Parlimen Bersatu dilihat masih tidak melakukan tindakan lompat parti, sekali gus tidak memerlukan mereka untuk mengosongkan kerusi masing-masing.

Ini kerana di bawah akta tersebut, tindakan menyatakan sokongan terhadap kerajaan tidak termasuk dalam perbuatan dikategorikan sebagai lompat parti.

Dalam pada itu, tindakan Bersatu menggantung keahlian, bukannya memecat ahli Parlimennya yang menyokong kerajaan juga tidak menjejaskan kedudukan wakil rakyat terbabit.

Untuk rekod, setakat Sabtu, Bersatu sudah bertindak menggantung keahlian dua daripada empat wakil rakyatnya yang berpaling tadah.

Kedudukan di Parlimen

KUALA LUMPUR, 6 Jun -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul ketika Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.
--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul

Dalam pada itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul turut menyatakan tindakan kesemua wakil rakyat pembangkang menyatakan sokongan kepada kerajaan tidak menjejaskan kerusi bagi kawasan tersebut.

Malah dalam kenyataan pada Khamis, beliau memaklumkan menerima permohonan daripada keempat-empat ahli Parlimen terbabit untuk menukar tempat duduk mereka di Dewan Rakyat.

Johari berkata, dia masih belum membuat sebarang pendirian berhubung perkara tersebut.

Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa penetapan kedudukan wakil rakyat di Parlimen adalah tertakluk di bawah kuasanya sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Pinda Akta Anti Lompat parti tangani isu kelompangan perundangan

PUTRAJAYA, 16 Jun -- Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media berkaitan Laporan Tahunan Pemerdagangan Orang (TIP) Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) 2023 di Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.-- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Susulan daripada perkembangan tersebut, Presiden Bersatu yang juga Pengerusi PN meminta agar Akta Anti Lompat Parti yang diwartakan pada 6 September lalu dikaji semula.

Katanya, langkah itu perlu dilaksanakan selepas ia didakwa mempunyai kelompongan ketara.

Ia dipercayai merujuk kepada isu akta sedia ada yang dilihat agak longgar dalam pentafsirannya terhadap ahli Parlimen dikategorikan sebagai lompat parti dan ia tidak meliputi mereka yang mengambil pendirian bertentangan dengan parti ketika di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, mengulas mengenai isu tersebut, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan bahawa kelompangan yang wujud itu berpunca daripada pendirian Bersatu sendiri.

Menurut beliau, ini kerana parti itu menjadi pihak yang menentang terhadap cadangan untuk memasukkan perkara tersebut dalam Akta Anti Lompat parti ketika ia masih berada dalam proses penggubalan.

Ujar Saifudidin, cadangan yang difahamkan turut berada dalam draf asal akta terbabit adalah mengenai kewajipan ahli Parlimen mengosongkan kerusi sekiranya pendirian mereka bertentangan dengan whip parti masing-masing.

Beliau turut menjelaskan idea untuk memasukkan cadangan tersebut di dalam draf berkenaan adalah idea daripada Pakatan Harapan (PH) sendiri yang ketika itu masih berada di blok pembangkang.

Sehubungan itu, sekiranya Bersatu benar-benar mahu melihat pindaan terhadap akta terbabit bagi mengelak berulangnya insiden seperti ini, parti seharusnya mengakui kesilapan mereka.

Dengan cara itu sahaja, mereka kemudiannya mempunyai kewajaran moral untuk memulakan desakan kepada kerajaan bagi menambah baik dan meminda kelompangan yang wujud dalam undang-undang terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram