Budak tahfiz masih hilang lepas naik bas di TBS


  • Tular
  • Rabu, 03 Jan 2024

Anas Dhiyauddin (kiri) ketika dihantar ke TBS sebelum menaiki bas pada Isnin lalu. — Facebook/NurulSyahidahRoslan

SEORANG pelajar tahfiz dilaporkan hilang sejak dua hari lalu selepas kali terakhir dilihat menaiki bas dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

Insiden kehilangan tersebut dikongsikan sendiri oleh ibu saudara mangsa di laman Facebooknya yang menggunakan nama, Nurul Syahidah Roslan pada Selasa.

Dia memaklumkan pada hari tersebut, anak saudaranya yang dikenali sebagai Anas Dhiyauddin sepatutnya pulang ke asramanya di Maahad Tahfiz al-Khaladiah, Ipoh, Perak.

"Beliau menaiki bas dari TBS sekitar jam 5.00 petang pada 1 Januari 2024 dan sepatutnya tiba di Aman Jaya (Ipoh) pada pukul 7.30 malam.

"Mohon jasa baik sesiapa yang ada melihat anak saudara saya untuk berhubung terus dengan saya Syahidah 013-635 7579," kongsinya.

WhatsApp Image 2024-01-03 at 9.57.07 PM

Perkongsian di Facebook Nurul Syahidah Roslan mengenai kehilangan anak saudaranya.

Menerusi hantaran tersebut, Nurul Syahidah Roslan turut berkongsikan foto terakhir yang diambil bersama anak saudaranya ketika keluarganya menghantar remaja tersebut di TBS.

Berdasarkan gambar berkenaan, Anas Dhiyauddin dilihat memakai kopiah dan kemeja-T berwarna hitam.

Difahamkan, laporan polis sudah dibuat berhubung insiden hilang tersebut dan Majoriti sudah cuba menghubungi ahli keluarga mangsa tetapi tiada maklum balas diterima.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin ketika dihubungi pada Khamis mengesahkan mengenai kes kehilangan melibatkan pelajar tahfiz terbabit.

Menurutnya, setakat ini, pihak polis masih belum menemui sebarang petunjuk dan kes disiasat di bawah orang hilang (OH)

413000953_7391465404206052_2008195275235052960_n

Anas Dhiyauddin merupakan pelajar di Maahad Tahfiz al-Khaladiah, Ipoh, Perak. — Facebook/NurulSyahidahRoslan

Setakat laporan ini ditulis, hantaran dibuat Nurul Syahidah Roslan itu sudah dikongsikan sebanyak 799 kali oleh pengguna Facebook.

Di ruangan komen, rata-rata pengguna mendoakan agar urusan untuk mencari remaja lelaki tersebut dipermudahkan.

"Semoga dipermudahkan urusan Anas dalam lindungan ALLAH sentiasa," tulis Salmah Saliman.

"Semoga ditemui dalam keadaan sihat dan selamat..." ujar Nur Sakiinah.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram