83 tulang rangka manusia misteri ditemui dalam longkang di Sibu


  • 112
  • Jumaat, 22 Dis 2023

Sepasukan anggota polis dengan kerjasama unit forensik sedang menjalankan siasatan berhubung penemuan tengkorak di lokasi kejadian. — Facebook

MASYARAKAT di Sibu, Sarawak digemparkan dengan penemuan sebanyak 83 tulang daripada rangka manusia di dalam longkang di Jalan Bukit Assek.

Maklumat tersebut dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Assek, Chieng Jin Ek di laman Facebooknya pada Khamis.

Pada Isnin lalu, pekerja pembersihan Majlis Perbandaran Sibu menemui beberapa tengkorak manusia semasa menjalankan kerja-kerja pembersihan longkang di lokasi.

Sejak daripada itu, pihak polis dengan kerjasama forensik Hospital Sibu dan pihak majlis tempatan menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Setakat Khamis, sebanyak 83 tulang dipercayai rangka manusia telah ditemui di kawasan berkenaan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Balai Polis Sentral Sibu diarahkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan setelah menerima maklumat.

"Sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada tulang itu akan dihantar ke Unit Forensik Jabatan kimia untuk mengenal pasti identiti rangka berkenaan. Kita akan membuat permohonan ujian DNA di Jabatan Kimia dalam tempoh terdekat," katanya.

Zulkipli berkata, proses mengenal pasti identiti rangka itu mengambil tempoh kerana sampel DNA perlu diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia.

Setakat ini, kita belum mempunyai sebarang petunjuk berhubung tengkorak yang ditemui itu. Buat masa ini juga, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” katanya.

Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta untuk menghubungi Ketua Polis Balai Sentral Sibu, Asisten Superintendan Binsin Lunjong di talian 0178025675 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram