Didakwa bolot kekayaan luar biasa sampai kena siasat SPRM, Tun Daim akhirnya buka mulut


  • Massa
  • Khamis, 28 Dis 2023

Tun Daim akhirnya bersuara tentang siasatan SPRM terhadap keluarganya.

BEKAS Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin mengecam siasatan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas beliau dan keluarganya.

Malah, beliau menyifatkan tindakan dikenakan terhadapnya itu tidak ubah seperti political witch-hunt atau serangan politik terhadap dirinya.

Selepas lama berdiam diri, Daim dalam satu kenyataan tampil memaklumkan bahawa sehingga hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki masih tidak memaklumkan kepadanya tentang kesalahan didakwa dilakukannya.

“Sebagai bekas anggota kanan kerajaan, dan kerana menghormati proses penyiasatan, saya berdiam diri sehingga kini.

“Bagaimanapun, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki tidak menunjukkan rasa hormat yang sama terhadap proses itu dengan komen dan kenyataan mereka yang tidak wajar, menyebabkan saya tiada pilihan selain bertindak balas demi menjaga reputasi dan nama baik saya," kata Daim.

Beliau turut merujuk kepada kenyataan dikeluarkan Anwar yang juga Perdana Menteri mengenai siasatan itu.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang perbuatan rasuah atau salah laku dalam apa jua bentuk oleh saya atau keluarga saya. Siasatan ini tidak lain merupakan serangan politik terhadap kami.

"Sehingga hari ini saya tidak pernah dimaklumkan tentang kesalahan yang didakwa saya lakukan walaupun saya telah berulang kali bertanya secara bertulis kepada SPRM.

“Adalah pengetahuan umum bahawa Anwar - atas sebab hanya diketahuinya - menganggap saya sebagai ancaman politik dan musuh yang mesti ditundukkan. Adalah satu pembohongan baginya untuk menafikan perkara ini," tambahnya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Daim kemudian menambah, kenyataan bahawa Akta SPRM 2009 menetapkan Ketua Pesuruhjaya bergantung kepada Perdana Menteri untuk pelantikan atau lanjutan tempoh perkhidmatan mereka adalah sesuatu fakta yang tidak boleh dinafikan.

“Kecaman terbaru Anwar terhadap saya pada Disember menyatakan, ‘ia adalah rahsia terbuka. Seseorang telah mengaut begitu banyak kekayaan', adalah sindiran melulu dan tidak berasas yang cuba memberi gambaran saya bersalah atas satu kesalahan yang tidak dinyatakan secara spesifik.

“Ini cukup menunjukkan kebenciannya terhadap saya. Ia juga amat tidak wajar dan penyalahgunaan kuasa bagi seorang Perdana Menteri untuk mengganggu atau mempengaruhi siasatan yang sedang dijalankan dengan membuat sindiran tersebut secara terang-terangan.

"Saya telah berbincang dengan peguam saya mengenai perkara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya dalam masa terdekat," ujarnya.

Mengenai beberapa kenyataan dikeluarkan Azam, Daim menyifatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu bertindak dengan tidak profesional dan meragukan melalui pelbagai komen terbuka yang prejudis terhadapnya ketika siasatan sedang dijalankan.

“Sebagai ketua organisasi, Azam juga mesti bertanggungjawab atas banyak kebocoran berita 'sumber' mengenai penyiasatan yang didakwa.

“Apa yang dipanggil 'sumber' ini hanya boleh datang dari dalam SPRM kerana ia bertujuan untuk mendedahkan butiran siasatan tersebut.

“Tujuan kebocoran itu jelas adalah untuk membenarkan tindakan mereka terhadap saya dan untuk menggambarkan diri saya sebagai seorang yang korup dan bersalah. Kerana saya tidak diberitahu tentang kesalahan yang saya lakukan, saya tidak tidak berada di kedudukan untuk memberi jawapan terhadap mereka atau membela diri.

“Sejak awal siasatan ini, saya sudah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dan kerap berkomunikasi dengan mereka melalui peguam saya.

“Oleh itu, adalah satu kesalahan jelas bagi 'sumber' SPRM mendakwa saya tidak membuat pendedahan yang betul mengenai butiran kewangan yang dituntut oleh SPRM.

“Saya mengulangi bahawa semua yang diminta secara bertulis oleh SPRM telah didedahkan dan mengikut undang-undang.

“Saya amat mengambil berat tentang keadilan dan integriti institusi kita. Institusi mesti dilindungi demi kepentingan negara. Ia adalah demi kepentingan awam tertinggi bahawa proses penyiasatan dan pendakwaan tidak dicemari dan ditumbangkan oleh berat sebelah, ketidakadilan atau motif politik. Ini akan menjejaskan setiap rakyat Malaysia.

“Dalam mengenang sumpah jawatan mereka berdua bersumpah untuk menegakkan, Anwar dan Azam mesti menghormati kedaulatan undang-undang dan proses yang sewajarnya dan bertindak sewajarnya,” kata Daim.

Business as usual: Office workers walking in front of the entrance to Menara Ilham, a day after being seized by the MACC. — AZMAN GHANI/The Star

SPRM menyita Menara Ilham, iaitu sebuah bangunan 60 tingkat di tengah ibu kota Kuala Lumpur yang dimiliki keluarga Daim pada minggu lalu.

Minggu lalu, SPRM dilaporkan menyita Menara Ilham, iaitu sebuah bangunan 60 tingkat di tengah ibu kota Kuala Lumpur yang dimiliki keluarga Daim.

SPRM berkata, langkah itu dilakukan selepas ia mendapati berlakunya kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

Notis bertarikh 18 Disember daripada SPRM itu disiarkan di media tempatan.

Pada Mei tahun ini, SPRM berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat membabitkan dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion oleh seorang bekas menteri dan ahli perniagaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram