[VIDEO] Mohamad Sabu kekal Presiden Amanah untuk penggal ke-3


  • Politik
  • Ahad, 24 Dis 2023

Mohamad Sabu yang kekal dipilih sebagai Presiden Amanah. — Bernama

DATUK Seri Mohamad Sabu mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) untuk penggal ketiga selepas dipilih dalam Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti itu bagi tempoh 2023-2026 yang berlangsung pada Ahad.

Selain itu, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dipilih sebagai Timbalan Presiden yang baharu, menggantikan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menyandang jawatan itu sebelum ini.

Mesyuarat khas itu juga memilih Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Adly Zahari dan Dr Siti Mariah Mahmud, masing-masing sebagai Naib Presiden parti.

Keputusan pemilihan jawatan-jawatan utama parti itu diumumkan oleh Speaker Azhar Abdul Shukur dan Timbalan Speaker, Onn Jaafar pada Konvensyen Nasional Amanah 2023 di Klang, Selangor pada Ahad.

Terdahulu, pemilihan secara sistem EVoting telah diadakan melibatkan 1,003 perwakilan bagi memilih speaker, timbalan speaker dan dua juruaudit serta 27 Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional bagi penggal 2023/2026.

Pemilihan 27 Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional yang melibatkan 97 calon kali ini menyaksikan lima undian tertinggi diperoleh Dr Dzulkefly (900 undi) diikuti Khalid Abd Samad (899 undi), Azli Yusof (755 undi), Mujahid (699 undi) dan Datuk Mahfuz Omar (694 undi).

Bagaimanapun jawatan presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden parti itu dipilih dalam kalangan 27 individu yang mendapat undi tertinggi, melalui satu mesyuarat yang dilaksanakan selepas pengumuman keputusan pengundian Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional.

Sementara itu, Mohamad dalam ucapan penangguhan meminta pemimpin parti yang akan mewarisi pimpinan tertinggi Amanah pada masa hadapan agar berusaha menguatkan parti serta meneruskan kerjasama dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

"Amanah kekuatannya bergantung kepada gabungan, jadi ini penting hubungan kita dengan PKR, DAP dan sekarang hubungan kita dengan BN serta parti-parti di Sabah dan Sarawak.

"Oleh itu, pimpinan yang akan mewarisi pimpinan akan datang mesti cari jalan untuk kuatkan gabungan ini kerana sebarang keretakan dalam gabungan ini akan membawa padah kepada Amanah pada masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, pemilihannya adalah amanah yang berat untuk dipikul, namun beliau berjanji bersama-sama kepimpinan baharu bagi memastikan parti itu terus kukuh di persada politik tanah air.

"Keputusan (pemilihan jawatan utama) tadi adalah berat dan sukar namun (berjaya) dibuat dengan berpandukan konsep Rahmah yang kita pegang. Tidak kira berapa undi (diterima), para perwakilan telah menyatakan hasrat dan kami menghormati akan undi yang diberikan,” katanya dalam ucapan penangguhan.

Berikut adalah senarai Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah bagi penggal 2023 hingga 2026 yang dipilih pada Konvensyen Amanah 2023:

  1. Datuk Seri Mohamad Sabu (Presiden)
  2. Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (Timbalan Presiden)
  3. Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Naib Presiden)
  4. Adly Zahari (Naib Presiden)
  5. Dr Siti Mariah Mahmud (Naib Presiden)
  6. Khalid Abd Samad
  7. Azli Yusof
  8. Datuk Mahfuz Omar
  9. Suhaizan Kaiat
  10. Datuk Dr Hasan Bahrom
  11. Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
  12. Datuk Dr Mohd Hatta Ramli
  13. Muhammad Faiz Fadzil
  14. Mohd Sany Hamzan
  15. Anfaal Saari
  16. Izham Hashim
  17. Datuk Dr Ismail Salleh
  18. Ahmad Sabki Yusof
  19. Lahirul Latigu
  20. Dr Ahmad Termizi Ramli
  21. Datuk Asmuni Awi
  22. Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin
  23. Ridzwan Abu Bakar
  24. Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab
  25. Wan Anwar Wan Ibrahim
  26. Dr Muhaimin Sulam
  27. Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram