EKSKLUSIF

Sektor pelancongan negara boleh terjejas jika masalah gelandangan tidak selesai — MATTA


  • Massa
  • Selasa, 26 Dis 2023

Kebanjiran gelandangan di Lebuh Pasar dilihat secara langsung menjejaskan imej Pasar Seni yang merupakan antara tempat pelancongan utama di ibu kota Kuala Lumpur.

KEMEROSOTAN imej tempat tarikan pelancongan utama di dalam negara termasuk di ibu kota tidak seharusnya diambil ringan oleh kerajaan dan pihak berkuasa.

Timbalan Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Sheikh Awadh Sheikh Abdullah berkata, ini kerana isu tersebut bakal memberi kesan secara langsung terhadap imej sektor pelancongan negara.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu kebanjiran gelandangan yang berlaku berdekatan salah satu lokasi tumpuan pelancongan di ibu kota Kuala Lumpur, iaitu Pasar Seni.

Majoriti sebelum ini melaporkan mengenai masalah kehadiran kumpulan gelandangan yang menjadikan kawasan Lebuh Pasar sebagai tempat tinggal golongan tersebut.

Keadaan di lorong yang terletak betul-betul bersebelahan Pasar Seni itu dilihat menjejaskan imej pusat tarikan tersebut yang terkenal sebagai tarikan utama pelancongan di Kuala Lumpur.

WhatsApp Image 2023-12-25 at 8.51.02 PM

Timbalan Presiden MATTA, Sheikh Awadh Sheikh Abdullah.

Malah, beberapa peniaga di sekitar turut menimbulkan kebimbangan berhubung isu tersebut, lebih-lebih lagi ia memberi kesan terhadap tahap kebersihan kawasan berkenaan.

"Walaupun isu gelandangan ini bukan secara langsung berkaitan dengan sektor pelancongan, tapi ia perlu dilihat sebagai isu yang penting untuk ditangani.

"Kerana jika dibiarkan berterusan, ia pasti akan menjejaskan imej tempat tersebut," ujarnya.

Dalam pada itu, Sheikh Awadh mengakui beberapa lokasi tarikan pelancongan yang sudah agak lama di ibu kota sememangnya sekian lama terpalit dengan imej negatif khususnya berkaitan dengan gejala sosial.

Antaranya tempat tumpuan pelancong yang dimaksudkan adalah Chow Kit, Petaling Street dan termasuk Pasar Seni.

"Sebagai syarikat pelancongan, kita sememangnya cuba sedaya upaya untuk promosikan semua lokasi menarik termasuk di kawasan ini.

"Cuma di lokasi yang diketahui ada isu yang berikan imej tidak positif kepada pelancong, mungkin pihak berkaitan perlu nilai semula usaha yang boleh dilakukan termasuk daripada segi penguatkuasaan.

"Sebagai contoh, kita boleh lihat perbezaan ketegasan penguatkuasaan di kawasan pelancongan baharu seperti contohnya di Menara Berkembar Petronas, TRX Exhange dan Menara Kuala Lumpur daripada segi kawalan keselamatan yang tidak benarkan perkara seperti ini.

"Tapi pada masa sama, kementerian berkaitan juga perlu ada perancangan untuk gelandangan ini, kalau tak benarkan mereka berada di situ, di mana tempat perlindungan yang boleh mereka duduk," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram