[VIDEO] Elak jalan berlubang dekat Kuching, penunggang motor berpusing sebelum terjatuh


  • Tular
  • Khamis, 12 Okt 2023

Tangkap layar kemalangan motosikal akibat jalan rosak yang tidak dibaiki di Jalan Stapok Utama pada Khamis.

SEORANG penunggang motosikal berdepan detik cemas sebelum terjatuh akibat jalan rosak yang tidak dibaiki di Jalan Stapok Utama, Kuching, Sarawak pada Khamis.

Melalui rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang dimuat naik pada laman Facebook, seorang lelaki dilihat cuba mengelak jalan berlubang sehingga mengakibatkan motornya berpusing dan terjatuh.

Pada masa yang sama, mangsa dilihat menahan kesakitan akibat kaki kanannya tertindih oleh motornya.

Mangsa kemudian cuba bangun tanpa sebarang bantuan yang dihulurkan oleh pemilik kenderaan lain yang berada di tempat kejadian.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang pengguna meluahkan perasaan kecewa dan geramnya terhadap jalan yang tidak dibaiki sehingga mengakibatkan kemalangan terjadi.

"Salam dan selamat pagi, Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.

"Sudah ada mangsa kemalangan yang berlaku di Jalan Stapok Utama yang kami tekankan untuk dibaiki beberapa hari lepas, jadi dimohon pihak tuan percepatkan pembaikan jalan di lokasi ini, " tulisnya.

Namun, belum ada sebarang maklumat mengenai keadaan mangsa setakat ini.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet turut merasakan jalan yang rosak bakal mengundang banyak kes kemalangan terjadi di kawasan ini.

"Mungkin tunggu ada yang meninggal dunia dahulu baru mereka mahu baiki jalan ini, " kata Chester Chesz.

"Bahaya jalan macam ini, memang teruk sangat berlubangnya," kata Yun Razali.

"Memang sepatutnya bertindak cepat, isu-isu jalan rosak ini biasa dibiarkan sahaja," kata Aisyah Sofia.

Setakat berita ini ditulis, tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram