[VIDEO] Tiga kali terlepas, buaya gergasi akhirnya mati dengan 7 das tembakan di Lahad Datu


  • 112
  • Selasa, 12 Dis 2023

Tangkap layar kejadian seekor buaya berjaya ditembak mati selepas cubaan menangkapnya gagal sebanyak tiga kali. — APM Lahad Datu

SELEPAS berjaya menangkap seekor buaya dua minggu lalu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) sekali lagi berjaya menumpaskan seekor buaya jantan sepanjang hampir lima meter sebelum bangkainya dibawa naik ke darat dalam kejadian di Kampung Desa Bajau, Lahad Datu, Sabah pada Isnin.

Reptilia berukuran hampir lima meter panjang dan lebat 1.8 meter ditemukan dan ditangkap di kolong rumah atas air, pukul 8.50 malam.

Pegawai APM Lahad Datu, Kapten (PA) Ahmad Roslan Kamel berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada pukul 4.38 petang.

Katanya, sepasukan enam anggota APM Lahad Datu kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi menangkap reptilia berkenaan.

“Setiba di lokasi pukul 5.16 petang, didapati seekor buaya besar berada di bawah rumah atas air dalam keadaan air yang surut.

“Anggota cuba menangkap menggunakan kaedah jerutan sebanyak tiga kali tetapi gagal disebabkan buaya itu terlalu besar dan agresif.

“Malah, buaya itu hampir menyerang seorang kanak-kanak yang ketika itu menyaksikan operasi menangkap reptilia berkenaan.

“Namun anggota APM berjaya menyelamatkan kanak-kanak terbabit,” katanya dalam laman Facebook pada Selasa.

Menurutnya, selepas itu APM menghubungi Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu untuk bantuan menangkap buaya berkenaan.

“Sebanyak tujuh das tembakan dilepaskan ke arah buaya berkenaan dan disahkan mati akibat das tembakan ke arah kepala buaya.

“Anggota bertugas kemudian menangkap dan menyerahkan kepada JHL Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mengulas lanjut, semua anggota selamat dan operasi ditamatkan pada pukul 8.50 malam.

Pada 27 November lalu, APM Lahad Datu turut menumpaskan seekor buaya berhampiran kawasan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram