[VIDEO] Kelibat buaya dilihat dekat Tasik Kiambang Serendah, Perhilitan mula operasi pasang perangkap


  • 112
  • Isnin, 11 Dis 2023

Tangkap layar video memaparkan kehadiran buaya berkenaan yang dilihat berada di sekitar Tasik Kiambang, Serendah, Selangor.

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor memulakan operasi memasang perangkap buaya di kawasan Tasik Kiambang, Serendah, Selangor susulan kehadiran seekor reptilia tersebut yang dikesan berada di kawasan berkenaan.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Perhilitan memaklumkan pihaknya sebelum itu menerima aduan berkaitan penampakan buaya tersebut sejak awal Disember ini di lokasi tersebut yang terletak berhampiran kawasan penempatan dan merupakan destinasi popular dalam kalangan pemancing.

"Pemerhatian langsung Perhilitan mengesahkan akan kehadiran buaya tersebut yang dianggarkan sepanjang lima ke enam kaki.

"Sehubungan itu, Jabatan Perhilitan Selangor bertindak memasang perangkap buaya bagi tujuan keselamatan awam dan translokasi buaya tersebut ke kawasan habitat lain," menurut kenyataan tersebut yang dibuat menerusi hantaran di Facebook rasmi Perhilitan Semenanjung Malaysia.

Sehubungan itu, Perhilitan turut menasihatkan orang awam terutamanya pemancing di kawasan terbabit supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika melakukan aktiviti berkenaan.

Ujarnya, pihak Perhilitan akan terus memantau tasik tersebut sehingga buaya tersebut berjaya ditangkap demi menjamin keselamatan orang awam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram