[VIDEO] Sempat minta maaf lepas kantoi curi buah kelapa sawit guna Myvi, polis Batu Pahat tahan 3 lelaki


  • 112
  • Khamis, 28 Dis 2023

Tangkap layar menunjukkan suspek dikesan cuba mencuri buah kelapa sawit.

POLIS menahan tiga lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kegiatan kegiatan mencuri buah kelapa sawit menggunakan kereta Perodua Myvi di sebuah ladang dekat Batu Pahat, Johor pada 26 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, ketiga-tiga lelaki terbabit berumur 30 hingga 66 tahun ditahan di sekitar daerah itu oleh pasukan polis IPD Batu Pahat pada hari yang sama bagi membantu siasatan.

Ujarnya, polis turut mendapat perintah reman selama dua hari hingga 30 Disember depan oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat bagi membolehkan siasatan dijalankan.

“Turut dirampas sebuah kenderaan yang digunakan untuk kegiatan mencuri dan beberapa tandan buah sawit.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan.

Pada 26 Disember lalu, tular satu video memaparkan cubaan dua individu mencuri buah kelapa sawit menaiki Perodua Myvi.

Bagaimanapun, di dalam klip tersebut, kegiatan suspek dipercayai dikesan oleh seorang lelaki dan menyebabkan kedua-duanya terpaksa menurunkan semula buah sawit yang mahu dicuri tersebut.

Menerusi video berkenaan, salah seorang suspek juga dilihat memohon maaf kepada lelaki yang merakam video tersebut sebelum beredar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram