[VIDEO] Menyamar sebagai pekerja pembersihan, lelaki misteri aktif ceroboh, pecah tabung beberapa masjid di Padang Serai


  • Tular
  • Jumaat, 15 Dis 2023

Tangkap layar kejadian kecurian di tabung masjid yang dipercayai terjadi pada dua buah rumah ibadat di Padang Serai pada Khamis.

SEORANG lelaki disyaki memecah masuk dua tempat beribadat untuk melakukan kecurian dalam kejadian di Padang Serai, Kedah pada Khamis.

Dalam rakaman yang dimuat naik menerusi media sosial, lelaki yang memakai topi dan berbaju lutsinar hijau itu dilihat menceroboh masuk ke dalam ruangan Surau Ibrahim (As-Salam) Taman Lagenda, Padang Serai secara bersendirian pada pukul 4.20 pagi Khamis.

Dia juga dilihat membawa beberapa peralatan untuk digunakan memecah masuk ke kawasan tersebut.

Ketika kejadian, penjenayah dipercayai mengumpil pintu pagar besi yang berkunci bagi membolehkan dia mengambil wang yang diletakkan di dalam tabung masjid.

410990843_10224339003885701_2476098956530085939_n

Penduduk tempatan, Apit Morad turut menemukan bukti kecurian yang digunakan sebagai ayat menutup muka.

Dalam pada itu, seorang pengguna, Apit Morad di media sosial berkata, penceroboh turut membawa kain dalam wanita yang digunakan sebagai alat penutup muka bagi mengelak identitinya dapat dikesan.

"Tinggal kain dalam wanita sahaja sebagai bukti digunakan untuk penutup muka, dia (suspek) datang lagi awal sebelum masuk waktu Subuh," tulisnya.

410283120_10224339002005654_4296056139412798698_n

Penjenayah mengumpil pintu pagar besi bagi membolehkan memecah masuk ruangan dalam surau.

Kejadian mengakibatkan pintu pagar besi surau berkenaan berada dalam keadaan rosak dan tidak mampu lagi untuk ditutup dengan sempurna.

Selain itu, didakwa satu lagi kecurian berlaku membabitkan suspek yang mengenakan pakaian yang sama terjadi di Masjid Jame' AnNajah, Padang Serai yang tular sejak Jumaat.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet kesal dengan tindakan penjenayah dan berharap pencuri segera ditahan.

"Dua-dua tempat tiada bonus agaknya, hahaha," tulis Apit Morad.

"Ish kenapalah bertindak begitu, memanglah hidup sekarang keras tetapi janganlah sampai buat dosa, kalau beli barang bagi anak isteri makan lagilah," tulis Noraini Atarid.

"Sengkek sungguh duit masjid pun mahu curi," tulis Husin Yahaya.

"Modus operandi, berpakaian dengan baju lutsinar hijau. Cara penyamaran pekerja pembersihan sampah dan sesebagainya," tulis Dahalan Abdmajid.

Setakat berita ini ditulis, belum ada kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung kejadian itu selain jumlah duit yang dicuri juga belum dapat dikenalpasti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram