SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemukan meninggal dunia di muara sungai Kampung Kurnia Jaya, Jalan Batu Apas 4, Tawau, Sabah pada Selasa.
Mangsa, Adwa Iman Muhammad yang sebelum ini dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas pada Isnin, ditemui dalam keadaan terapung pada pukul 6.45 pagi oleh orang awam.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diteruskan pada hari kedua.
"Bagaimanapun, komander operasi melaporkan, kanak-kanak tersebut telah ditemui oleh orang awam kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
"Mangsa yang ditemukan dalam keadaan terapung itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya lagi, operasi ditamatkan pada pukul 7.40 pagi selepas memastikan tiada bahaya lain wujud di sekitar lokasi kejadian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram