[VIDEO] Disyaki mangsa tetak, mayat berlumuran darah ditemui depan sekolah di Penampang


  • Tular
  • Ahad, 24 Dis 2023

Tangkap layar video memaparkan sekumpulan orang ramai berada di lokasi penemuan mayat tersebut pada awal pagi Ahad di hadapan SMK Bahang, Penampang, Kota Kinabalu, Sabah.

PENDUDUK di Penampang, Kota Kinabalu, Sabah gempar susulan penemuan mayat seorang lelaki yang dijumpai terbaring di tepi jalan berdekatan Sekoklah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang pada pagi Ahad.

Difahamkan, mayat tersebut ditemuI orang awam di lokasi sekitar pukul 5.30 pagi.

Lebih mengejutkan, jasad lelaki itu dipercayai dijumpai dalam keadaan bermandi darah.

"Apa kes ni? Sampai-sampai yang satu tu dah mandi darah," tulis Rafee Pml yang berkongsikan video di lokasi ketika penemuan mayat tersebut pada awal pagi Ahad.

Menerusi klip tersebut, sekumpulan orang ramai dilihat berada di tempat kejadian dengan seorang individu dilihat sudah terbaring di tepi jalan.

Beberapa individu lain turut dirakamkan terduduk di tepi jalan manakala salah seorang daripadanya kelihatan tidak memakai baju.

Di ruangan komen, seorang pengguna mendakwa mangsa berkemungkinan sebelum itu terlibat dalam satu pergaduhan.

"Macam baru lepas bergaduh sampai bertetak diorang tu. Dalam video ni belum ada polis lagi," ujar Stanley Leo.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton dalam satu kenyataan berkata, mangsa maut merupakan warga asing berusia 29 tahun.

Beliau berkata, pihaknya sebelum itu menerima aduan mengenai satu pergaduhan membabitkan beberapa individu lelaki dengan menggunakan senjata jenis parang pada pukul 4.44 pagi di lokasi kejadian.

Ujarnya, mangsa sebelum itu ditemui orang awam dalam keadaan terbaring dengan kesan tetakan dan tikaman di leher, kepala, tangan dan kaki mangsa.

Sammy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pada masa sama, beliau turut meminta saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.

Orang awam boleh menghubungi pegawai penyiasat kanan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, Asisten Superintendan Polis Andi Ma’ Mur Halwati di talian 019-5853918. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram