[VIDEO] Mayat lelaki hilang lebih 2 hari lepas jatuh Jambatan Tendong ditemukan


  • 112
  • Khamis, 21 Dis 2023

Mayat mangsa yang terjatuh di Sungai Kelantan, Kota Bharu, Kelantan ditemui pada Khamis. — JBPM Kelantan

MAYAT seorang lelaki yang hilang selepas terjatuh dalam Sungai Kelantan, Kota Bharu, Kelantan ditemui pada Khamis.

Mangsa, Mohd. Zulhilmi Mohd. Zamri, 37, dijumpai pada pukul 9.15 pagi di jeti Pok Heng berhampiran Jambatan Sultan Yahya Petra selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan sejak dua hari lalu.

Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, mayat mangsa yang terbabit dalam perniagaan membuat barangan besi ditemukan pada jarak lapan kilometer dari lokasi dia terjatuh di Jambatan Tendong.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis. JBPM Kelantan mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam operasi SAR termasuk penduduk dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, mangsa yang merupakan ahli perniagaan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kelantan di Jambatan Tendong.

Pada masa sama, mangsa disedari terjatuh dari jambatan itu oleh orang awam yang berada di lokasi berkenaan pada pukul 2.50 petang pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram