[VIDEO] Lelaki tikam kekasih sampai mati dalam kereta di Klang bermotifkan cemburu


  • 112
  • Rabu, 20 Dis 2023

Mayat mangsa yang diletakkan dalam kereta di lokasi kejadian. — Facebook

CEMBURU dipercayai menjadi motif seorang wanita ditikam berkali-kali sehingga meninggal dunia dalam kejadian di Taman Chi Liung, Klang, dua hari lepas, kata Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi.

Sasikala Devi berkata, siasatan awal pihaknya juga mendapati suspek berusia 44 tahun dan mangsa merupakan pasangan kekasih.

"Difahamkan berlaku pergaduhan selepas mereka makan tengah hari di sebuah restoran sebelum suspek bertindak menikam wanita berkenaan berdekatan keretanya.

"Setakat ini, kita sudah merakam percakapan daripada dua saksi kejadian dan siasatan lanjut masih dilakukan ketika ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, Selangor pada Rabu.

Media pada Selasa melaporkan seorang wanita tempatan maut akibat ditikam beberapa kali pada bahagian depan dan belakang badan oleh seorang lelaki, dalam kejadian yang berlaku di Jalan Bayu Tinggi 5, Taman Chi Liung, Klang, Selangor 18 Disember lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 2.17 petang berkenaan kejadian itu daripada seorang wanita yang menyatakan mangsa ditikam oleh seorang lelaki tempatan, yang kemudiannya membawa wanita itu menaiki kereta.

Suspek berumur 44 tahun itu kemudian telah mencederakan diri sendiri dengan menikam badannya dipercayai menggunakan pisau yang sama, sebelum polis tiba di lokasi pada pukul 4.20 petang bagi menahan lelaki itu dan kini direman selama tujuh hari sehingga 25 Disember depan dengan kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Sasikala Devi berkata, pihaknya menahan empat lelaki tempatan di tepi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berdekatan sebuah stesen minyak sekitar Kuala Lumpur pada 11.55 malam, 18 Disember lalu dan merampas 110 ketulan mampat daun kering disyaki ganja dengan anggaran berat keseluruhan 115,774 bernilai RM358,899 di dalam sebuah kereta serta tempat simpanan barang dalam sebuah bas ekpres.

"Kesemua lelaki berusia lingkungan 32 hingga 54 tahun itu ditahan reman selama tujuh hari sehingga 25 Disember ini dan kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu, Sasikala Devi berkata, sebanyak 17,211 kes membabitkan 20,986 tangkapan individu direkodkan bagi pelbagai kesalahan bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan nilai rampasan pelbagai jenis dadah sebanyak RM136,233,674 dari Januari hingga November tahun ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram