Remaja berkopiah cuba tikam 'uncle' pemandu e-hailing di Sungai Petani mengaku tidak bersalah


Tangkap layar memaparkan tertuduh sedang duduk di kerusi penumpang sebelum melakukan cubaan samun terhadap pemandu e-hailing tersebut.

REMAJA lelaki berusia 13 tahun yang dipercayai cuba melakukan rompakan terhadap pemandu e-hailing Isnin lepas, mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu di Mahkamah Majisret Sungai Petani, Kedah pada Ahad.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa cuba melakukan perbuatan rompak terhadap Lee Ang Hie, 65, di kawasan tepi jalan Taman Keladi lebih kurang 6 petang pada 27 November lalu.

Bagi pertuduhan itu dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Mahkamah membenarkan remaja itu diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

BACA LAGI : [VIDEO] Budak berkopiah tiba-tiba acu pisau, cuba tikam dan samun pemandu warga emas di Sungai Petani

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirul Halimi Md Salleh, sementara peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Duratul Ain Mahmud Morshidi bertindak mewakili remaja itu.

Terdahulu, remaja itu yang merupakan anak sulung daripada empat beradik hadir ke mahkamah dengan diiringi kedua-dua ibu bapanya.

Sebelum ini satu klip video yang memaparkan tindakan seorang remaja cuba menikam pemandu e-hailing dipercayai sebagai cubaan samun dalam kenderaan di Taman Keladi di sini Isnin lepas, menjadi tular di laman sosial.

Pemandu e-hailing yang merupakan warga emas berusia 65 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan kerana sempat menggigit tangan remaja berkenaan dan merampas pisaunya sebelum remaja itu melarikan diri.

Remaja itu ditahan kira-kira dua jam selepas laporan polis dibuat oleh warga emas berkenaan pada pukul 8 malam pada hari kejadian. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram