[VIDEO] Mayat dalam longkang Batu Pahat dikenali ramai, polis sah punca kematian


  • 112
  • Jumaat, 25 Ogos 2023

Mayat lelaki itu dikeluarkan pihak polis dengan bantuan bomba dan JKR Batu Pahat. — Facebook/SPOnlineShop

MAYAT lelaki yang ditemui di dalam longkang dekat kawasan berhampiran Jalan Sultanah, Batu Pahat, Johor pada petang Khamis merupakan seorang gelandangan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam longkang tersebut sebelum mati lemas.

Katanya, hasil siasatan awal yang diperolehi daripada orang awam, mangsa difahamkan merupakan seorang gelandangan yang sering kelihatan di kawasan tersebut.

"Hasil pemeriksaan fizikal pada tubuh mangsa, mendapati tiada sebarang kecederaan yang berunsur jenayah.

"Si mati dipercayai telah jatuh ke dalam longkang binaan batu konkrit di tempat kejadian dan lemas akibat pengaliran air," katanya dalam satu kenyataan.

Ismail berkata, anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat sebelum menerima panggilan memaklumkan kejadian tersebut pada pukul 5 petang semalam.

Susulan daripada itu, beliau memaklumkan pihak polis dengan bantuan bomba dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Batu Pahat kemudian bertindak mengeluarkan mayat mangsa.

Ismail berkata, siasatan lanjut dijalankan untuk mengetahui identiti mangsa dengan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Pihak polis meminta orang ramai atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan si mati supaya tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan pihak polis.

"Maklumat boleh juga disalurkan ke Pusat Kawalan Daerah Batu Pahat melalui talian 07-4363300," ujar Ismail. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram