[VIDEO] Tak sampai sesaat, budak kena langgar sampai 'tertomoih' depan mata mak ayah di Kepala Batas


  • Tular
  • Selasa, 12 Dis 2023

Tangkap layar rakaman dashcam kenderaan seorang kanak-kanak (bulatan) dirempuh motosikal di Pekan Bukit Pinang di Kepala Batas, dekat Alor Setar pada Ahad.

SEORANG kanak-kanak dipercayai mengalami kecederaan serius selepas dirempuh sebuah motosikal di Pekan Bukit Pinang, Kepala Batas dekat Alor Setar, Kedah pada Ahad.

Malah kejadian itu juga turut dirakam oleh kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan lain yang berada di tempat kejadian dan dimuat naik semula di laman Facebook Media Kedah Kini pada Selasa.

Melalui rakaman berdurasi kurang seminit itu, kanak-kanak terbabit dilihat berlari dari sebuah gerai makan ke jalan sebelum dirempuh motosikal tersebut.

Ketika kejadian pada pukul 12.24 tengahari itu, budak malang tersebut dilihat seperti berlari mengekori seorang lelaki dipercayai ayahnya yang terlebih dahulu melintas jalan.

Motosikal yang datang dari arah hadapan itu dilihat tidak sempat memberhentikan motornya dan terus merempuh kanak-kanak berkenaan.

Mangsa yang dilanggar kelihatan terpelanting di atas jalan sebelum lelaki terbabit dan seorang wanita bergegas mendapatkan kanak-kanak itu.

Lelaki terbabit dilihat mengangkat mangsa yang dipercayai dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Sementara itu, seorang pengguna media sosial, Mohd Yussoff Syarman berkata kejadian itu berlaku bukanlah disebabkan penunggang motosikal berkenaan tetapi akibat kecuaian ibu kepada budak tersebut.

"Ramai yang komen macam tahu cerita, sebenarnya bukan salah orang yang langgar. Ayah kepada kanak-kanak terbabit nak pergi ke kedai runcit yang berada di hadapan tempat mereka berniaga.

"Jadi budak kecil itu berlari ikut ayah dia, jangan salahkan orang yang langgar. Sudah tahu berniaga, jalan sesak patut bawa anak kecil sekali. Hampa (kamu) fikir sendiri," tulisnya.

Setakat berita ini ditulis belum dapat dipastikan keadaan sebenar kanak-kanak terbabit.

Pada masa sama, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak yang terlibat atau pihak berkuasa.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram