[VIDEO] Bukan lari, pemandu 4x4 patah balik lepas langgar 4 beranak di Lebuh Raya Sungai Besi


  • Tular
  • Selasa, 12 Dis 2023

Tangkap layar video memaparkan keadaan empat beranak ketika kemalangan berlaku di Lebuh Raya Sungai Besi, pada Selasa

EMPAT beranak berdepan dengan detik menakutkan selepas motosikal yang ditunggang mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4x4) di Lebuh Raya Sungai Besi, Selangor pada Selasa.

Kejadian itu turut dirakam kamera papan pemuka (Dashcam) sebuah kenderaan lain di lokasi kejadian dan video itu turut tular di media sosial pada hari yang sama.

Menerusi video berdurasi seminit lebih berkenaan, kelihatan empat beranak tersebut berada di lorong kiri jalan sebelum motosikal mereka dihimpit dan dilanggar kenderaan 4x4 berkenaan.

Impak daripada pelanggaraan tersebut menyebabkan keempat-empat mereka terjatuh ke bahu jalan.

Malah salah seorang daripada mangsa yang juga kanak-kanak perempuan kelihatan cedera di kepala kerana jelas kelihatan ada tompokan darah di anak tudungnya.

Beberapa orang awam turut memberikan bantuan awal kepada mereka.

Walaupun video tersebut kelihatan seperti kemalangan langgar lari, namun pada penghujung rakaman tersebut jelas kelihatan kenderaan pacuan empat roda itu berpatah balik.

Malah, pemandunya yang memakai baju kolar hitam turun dan berlari ke arah mangsa dalam keadaan panik.

msg1050426791-20236

Keadaan anak mangsa kemalangan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, orang awam turut berkongsi keadaan terkini keadaan keluarga tersebut dengan berkongsi sebuah gambar yang memaparkan kanak-kanak perempuan itu sedang mendapatkan rawatan di sebuah klinik.

Pada masa sama, terdapat beg menunjukkan penunggang motosikal itu bekerja sebagai penghantar makanan p-hailing.

Bagaimanapun, keadaan sebenar kesemua mangsa masih tidak dapat dikenal pasti dan tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut setakat berita ini ditulis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram