Padah ganggu rakan tidur, lelaki Bangladesh maut ditetak


  • 112
  • Rabu, 13 Dis 2023

Mangsa Mohammad Sobuj, 28, seorang pekerja pasar raya ditetak di leher dan kepala sebelah kiri. — PDRM

SEORANG lelaki warga Bangladesh maut ditetak dengan pisau pemotong daging oleh rakan senegara selepas dipercayai mengganggunya yang sedang tidur di sebuah rumah di Flat Haji Manan dekat Kluang, Johor pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, dalam kejadian itu, mangsa Mohammad Sobuj, 28, seorang pekerja pasar raya ditetak di leher dan kepala sebelah kiri.

Beliau berkata, susulan itu lima lelaki warga Bangladesh berusia antara 25 dan 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

"Pada 10 pagi tadi, polis menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki warga Bangladesh memaklumkan terdapat seorang lelaki dalam keadaan cedera parah dan tidak sedarkan diri di sebuah rumah.

"Siasatan awal mendapati suspek kelima iaitu rakan sebilik mangsa, mengaku menetak mangsa dengan pisau yang kemudian ditemui di tempat kejadian, kerana marah dengan mangsa yang mengganggunya sedang tidur," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati suspek lain yang duduk di bilik berasingan menyedari mangsa sudah meninggal dunia ketika mereka mahu pergi bekerja iaitu kira-kira 8 pagi tadi.

"Suspek kelima ditangkap di tepi Jalan Nyior bertentangan Taman Gunung Selatan Empat di sini pada 4.45 petang tadi selepas bertindak melarikan diri susulan insiden itu," katanya menambah mayat mangsa dibawa ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini untuk bedah siasat.

Menurutnya kelima-lima suspek akan direman pada Rabu di Mahkamah Majistret Kluang bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

bunuh, polis, Bangladesh, Kluang, tetak