[VIDEO] Ajal ketika cari rezeki, mekanik maut dihentam tayar lori tercabut di Rawang


  • Tular
  • Jumaat, 15 Dis 2023

Tangkap layar video memaparkan tayar lori lori yang tercabut sebelum menghentam mangsa yang ketika itu sedang berada di tepi jalan menukar tayar sebuah lori lain.

SEORANG mekanik yang sedang menukar tayar lori di tepi jalan maut selepas dihentam tayar sebuah lori lain yang tercabut secara tiba-tiba dalam kejadian di Jalan Lagong, berhampiran Gamuda Gardens dekat Rawang Selangor pada Khamis.

Kejadian yang berlaku sekitar pukul 4.50 petang itu turut dirakam oleh kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan lain di lokasi.

Berdasarkan klip video tersebut, tayar lori yang sedang dipandu laju dilihat tiba-tiba tercabut sebelum bergolek ke arah mangsa yang ketika itu sedang menukar tayar sebuah lori lain di tepi jalan.

Impak daripada hentaman tauar tersebut, mangsa dilihat tercampak dan terperosok di bawah lori kontena yang sedang dibaikinya.

Difahamkan, mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di lokasi kejadian.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan, pemandu lori yang tayarnya tercabut dalam kejadian tersebut terus melarikan diri dari lokasi kejadian.

Sementara itu, memetik laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh tampil ke balai polis terdekat bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram