[VIDEO] Pemandu pacuan empat roda langgar 4 beranak di Sungai Besi ditahan polis


  • 112
  • Rabu, 13 Dis 2023

Tangkap layar video memaparkan empat beranak yang jatuh akibat dihimpit pemandu Ford Ranger di Lebuh Raya Sungai Besi, Kuala Lumpur pada Selasa.

POLIS menahan seorang lelaki selepas disyaki memandu secara melulu hingga menyebabkan empat sekeluarga yang menaiki motosikal terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Sungai Besi, Kuala Lumpur pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, lelaki berusia 21 tahun yang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dari arah Sungai Besi ke Balakong menukar lorong secara tiba-tiba dan melanggar motosikal yang dinaiki empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak perempuan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, akibat kejadian itu, kesemua mangsa yang berusia lima hingga 34 tahun cedera ringan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Serdang, Selangor.

"Laporan polis telah dibuat oleh kedua-dua pihak dan pemandu Ford Ranger itu ditahan sebelum dituduh di Mahkamah Trafik Kuala Lumpur esok,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sarifudin berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara melulu atau membahayakan.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pejabat JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20719999 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular di laman sosial rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) memaparkan motosikal dinaiki dua orang dewasa bersama dua kanak-kanak terjatuh akibat dihimpit sebuah kenderaan yang menukar lorong secara tiba-tiba. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram