[VIDEO] Dipercayai hilang kawalan, penunggang maut tersepit bawah lori kontena di Bayan Lepas


  • 112
  • Rabu, 13 Dis 2023

Seorang lelaki disahkan meninggal dunia selepas tersepit di bawah lori kontena di Lebuh Raya Tun Dr Lim Ching Eu, Bayan Lepas pada Selasa.

SEORANG lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah lori kontena di hadapan sebuah kilang di Lebuh Raya Tun Dr Lim Ching Eu, Bayan Lepas, George Town, Pulau Pinang pada malam Selasa.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Pegawai Bomba Kanan II, Rohaizal Abdul Aziz berkata, mangsa dikenali sebagai Saiful Azhar Shaari berusia 41 tahun.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di bawah lori kontena tersebut.

"Kita menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.21 malam mengatakan berlaku satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah motosikal dan lori kontena.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kita mendapati ada mangsa tersepit di bawah lori kontena berkenaan. Apabila diperiksa oleh kakitangan perubatan, mangsa telah meninggal dunia kerana parah.

"Kerja-kerja mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas 'Rescue Tools'. Mayat mangsa telah diserahkan pada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kata beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas lori kontena tersebut hilang kawalan lalu melanggar mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC.

"Kemalangan itu juga menyebabkan pemandu lori kontena yang berusia 38 tahun cedera ringan di kepala.

"Operasi turut melibatkan bantuan daripada BBP Jalan Perak. Operasi tamat pada pukul 10.39 malam," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram