
TEKA-teki mengenai kehilangan seorang lelaki di Kulim, Kedah sejak 30 November lalu semakin hampir terjawab susulan penemuan rangka manusia bersama sebuah motosikal pada Rabu.
Berdasarkan video dikongsikan di sosial media, motosikal tersebut dilihat terdampar di sebuah kawasan semak berdekatan jalan di Bukit Aping, Bandar Baharu, Kulim, Kedah.
Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintenden Azmi Mokhtar berkata, pada awalnya, lokasi penemuan itu dijumpai oleh beberapa pekerja kontraktor yang melakukan aktiviti penyelenggaraan di kawasan tersebut pada pukul 8.45 pagi.
Kemudiannya, beliau berkata, salah seorang individdu daripada kumpulan pekerja terlebih dahulu menemukan motosikal terbabit.
“Kemudian dia pergi ke arah motosikal terbabit, mereka menemukan rangka manusia kira-kira 20 meter daripada motosikal itu," ujarnya seperti dilaporkan Astro AWANI.
Menurut Azmi, pemeriksaan lanjut mendapati nombor pendaftaran motosikal itu sama seperti motosikal yang dinaiki oleh individu yang dilaporkan hilang oleh keluarganya pada hujung bulan lalu.
Susulan daripada itu, beliau berkata, pasukan forensik akan melakukan pemeriksaan lanjut mengenai identiti rangka ditemui.
Motosikal milik lelaki hilang tersebut yang ditemui di kawasan semak berdekatan jalan Bukit Aping, Bandar Baharu, Kulim, Kedah. — Facebook
Katanya, ahli keluarga mangsa akan turut diminta untuk hadir bagi mengesahkan mayat menerusi pakaian ditemui pada rangka manusia itu.
“Namun polis akan menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengesahkan identiti sebenar mangsa dan rangka manusia itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya.
Dalam pada itu, Azmi berkata, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati mangsa dipercayai terbabas berdasarkan kesan tayar motosikal pada tebing tanah yang menuju ke arah semak terbabit.
Lelaki tersebut yang juga dikenali sebagai J Mizan hilang sejak hampir dua minggu lalu selepas tidak dapat dikesan oleh majikan dan ahli keluarganya.
Difahamkan, lelaki berkenaan berulang-alik dari rumahnya di Alor Pongsu, Bagan Serai, Perak ke tempat kerjanya di Kulim, Kedah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram