SEORANG warga emas yang dalam perjalanan menghantar cucunya ke sekolah maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah motosikal dalam kemalangan di Kampung Changkat Kinding, Ipoh, Perak pada Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, wanita berusia 59 tahun itu tersepit di dalam kereta Perodua Viva yang dipandunya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Bagaimanapun cucu mangsa, kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang turut berada di dalam kenderaan itu tidak mengalami kecederaan, manakala penunggang motosikal iaitu seorang pelajar sekolah lelaki berusia 17 tahun cedera parah.

Seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan.
"Mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut, manakala kanak-kanak perempuan itu juga dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut Sabarodzi, pihak Balai Bomba dan Penyelamat Tambun menerima panggilan pada pukul 7.17 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 8.03 pagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
