Hanya 15 bulan di Suria FM, Shuib umum undur diri


  • Hiburan
  • Isnin, 04 Dis 2023

Shuib (kiri) mengumumkan menamatkan perkhidmatannya sebagai penyampai radio di Suria FM.

HANYA mampu bertahan selama 15 bulan, selebriti terkenal, Shuib kini mendedahkan kerjasamanya dengan Suria FM sudah berakhir.

Kerjasama yang terjalin hampir dua tahun itu dikatakan merupakan satu langkah strategi bagi stesen radio tersebut pada 2023.

Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin, penamatan perkhidmatan tersebut adalah disebabkan Shuib yang mahu menumpukan sepenuh komitmen terhadap perniagaannya yang semakin berkembang.

msg1050426791-19780

DJ Lin (kiri) ketika memberi salam terakhir kepada Shuib (kanan) di Suria FM.

DJ Lin meluahkan rasa syukurnya kepada Shuib yang sentiasa menghiburkan pendengar menerusi segmen Morning-Morning Suria sejak 29 Ogos 2022.

"Mewakili keluarga Suria FM, kami berterima kasih diatas segala komitmen padu dan elemen kreatif yang dibawakan oleh Shuib kepada stesen radio kami.

"Diharapkan beliau terus berjaya dalam setiap usaha perniagaan dan kerjayanya,” katanya.

DJ Lin berkata, komitmen Shuib bersama Suria FM bukan sahaja menjadi sebahagian daripada perancangan tahunan stesen radio, tetapi memberi pengalaman yang amat berharga buat pihak radionya.

msg1050426791-19779

Shuib (kanan) yang pernah bergandingan bersama Ajak (kiri) dan Suraya (tengah) ketika di Suria FM.

Meskipun memutuskan untuk keluar dari Suria FM, DJ Lin berharap masih ada kerjasama lain di masa akan datang dengan menggunakan pelbagai inisiatif bersama Shuib.

Dalam pada itu, DJ Lin berkata, pengganti Shuib di Suria FM masih belum dapat diputuskan memandangkan pihak Suria FM baru mendedahkan pengakhiran kerjasama pada Isnin.

"Persoalan mengenai siapa pengganti Shuib masih terlalu awal untuk diputuskan, tetapi pihak Suria FM akan memaklumkan kepada umum mengenainya sebaik keputusan rasmi dicapai," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram