SEORANG lelaki, Marzuki, 48, dipercayai hilang setelah diserang buaya ketika menjala ikan di sungai dekat Sungai Wungguloko, Daerah Ladongi, Kolaka Timur, Sulawesi Tenggara, Indonesia pada Ahad.
Berdasarkan video berdurasi 22 saat yang dimuat naik di laman Facebook, buaya tersebut kelihatan seolah-olah sedang mengamuk dan cuba untuk menterbalikkan badan mangsa.
Rakaman kejadian yang berlaku sekitar pukul 2.15 petang itu turut menunjukkan reptilia ganas tersebut membaham kaki lelaki itu sebelum membawa lari badan mangsa sehingga hilang dari pandangan penduduk kampung.
Orang ramai yang berada di lokasi kejadian turut terkejut melihat insiden yang berlaku di depan mata, namun mereka dilihat tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya boleh berteriak dari jauh.
"Naanrei (dimakan). Cepat pak, lari pak. Tembak saja. Allahuakbar," jerit sebilangan penduduk dalam video itu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kolaka Timur, Yudhi Palmi DJ berkata, mangsa dikatakan sedang memancing bersama rakan sekerjanya ketika itu.
“Mangsa mengajak rakannya untuk turun ke sungai dan melemparkan jalanya.
"Bagaimanapun, ketika itu jalan yang dilemparkan tersangkut sebelum mangsa turun ke sungai dan cuba untuk melepaskannya.
“Mangsa berjalan sedikit ke tengah sungai untuk mengambil jala, namun tiba-tiba muncul seekor buaya yang sedang mengamuk dan menyerang lelaki itu,” katanya.
Sementara itu, rakan sekerja mangsa memaklumkan, Marzuki kali terakhir dilihat berada dalam genggaman rahang buaya tersebut sebelum dia dibawa pergi oleh haiwan berkenaan.
Status sebenar mangsa setakat ini masih belum diketahui meskipun penduduk kampung sudah sepakat melakukan operasi pencarian. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram