SEORANG lelaki dipercayai menjadi mangsa serangan buaya ketika sedang mengambil air di pinggir Sungai Skrang, Sri Aman, Sawarak pada Sabtu sudah ditemui pada Ahad.
Mayat Tuai Rumah (TR) Chaong Baringai, 67, dari Rumah Chaong, Baloi dilaporkan dijumpai dengan kesan gigitan di leher dan sebelah kanan kepala.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat mangsa dijumpai oleh penduduk kampung sekitar pukul 8.40 pagi, kira-kira 10 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat sebelum disambar buaya dalam kejadian yang berlaku pagi Sabtu.
"Terdapat kesan gigitan di bahagian leher dan sebelah kanan kepala dan disahkan benar mangsa yang dicari.
"Mayat mangsa telah diserahkan kepada polis di lokai dan dibawa ke Hospital Sri Aman untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Pada Sabtu, JBPM Sarawak menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 10.28 pagi sebelum mengerahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dikejarkan ke lokasi kejadian untuk mencari serta menyelamat (SAR) mangsa.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa terbabit sedang difahamkan dilakukan oleh pihak bomba. — Facebook/BorneoNetwork
Semasa insiden, isteri mangsa masih dikatakan berada di kawasan sawah sebelum mendengar jeritan suaminya dari arah tebing sungai.
Dalam pada itu, satu video dikongsikan di Facebook turut memaparkan kehadiran seekor buaya di lokasi yang dilihat sedang membawa badan dipercayai mayat mangsa.
Menurut laporan daripada penduduk kampung katanya, mangsa semasa kejadian sedang berada di tebing sungai untuk mengisi air ke dalam tong penyembur racun rumput.
"Isteri mangsa turut berada tidak jauh dari lokasi kejadian, memberitahu dia melihat sendiri seekor buaya menyambar suaminya dan terus mengheretnya ke lubuk sungai kira-kira 200 meter ke hulu.
"Penduduk kampung kemudian memulakan operasi SAR mangsa, namun hanya menemui bangkai seekor buaya," tambahnya.
Operasi SAR bersama pasukan bomba yang turut diawasi anggota polis kemudiannya dilakukan di sekitar kawasan kejadian.
Pada Sabtu, operasi pencarian masih dilakukan di kawasan Lubok Tekam iaitu lokasi mangsa dipercayai dilepaskan dari mulut buaya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram