SEORANG lelaki yang terjatuh daripada bot yang dinaikinya ketika memancing dalam kejadian di Kampung Sungai Jarau, Kati dekat Kuala Kangsar, Perak pada Jumaat, ditemukan lemas pada lewat petang Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mayat Mohd Faiz Azman, 33, ditemukan orang awam pada pukul 5.30 petang tersangkut di pulau dekat Kampung Buaya, lebih kurang 25 kilometer dari lokasi mangsa jatuh.
Terdahulu, katanya, kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa masuk hari kedua bermula pukul 9 pagi Sabtu dihentikan pada pukul 5 petang kerana keadaan cuaca hujan lebat dan sepatutnya disambung Ahad.
"Operasi SAR dilaksanakan menggunakan teknik mencari di permukaan air dari lokasi mangsa terjatuh hingga ke jeti Kuala Kangsar dengan radius pencarian dilakukan sejauh 12 kilometer, namun gagal,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara anggota bomba yang turut serta dalam operasi SAR di sekitar lokasi pencarian. — Bomba Perak
Dalam kejadian awal pagi Jumaat, mangsa bersama dua rakannya bertolak dari Jeti Kampung Jarau, sebelum bot dinaiki mereka terlanggar batu di tengah sungai menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam sungai.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Sabarodzi berkata, operasi mencari seorang warga emas Ali Pandak, 68, yang dilaporkan anaknya hilang sejak petang Jumaat di Kampung Saseh Perkampungan Orang Asli Pos Porwor di Sungai Siput, dihentikan dan disambung Ahad.
Pandak dikhuatiri hilang apabila anaknya menyedari bapanya tiada di rumah dan cuba mencari di sekitar kawasan rumah, namun gagal ditemukan.
Mangsa yang dipercayai kurang sihat dan jarang keluar rumah, dilihat kali terakhir berada di kediamannya oleh adik iparnya pada 7 pagi Khamis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram