Bayar jaminan RM25,000, 'Makcik Kemboja', anak tak mengaku salah kes hina Melayu


Mengikut pertuduhan, Mariyah yang juga pemilik syarikat jahitan pukal, Mariyah Holdings Sdn. Bhd didakwa membuat satu penyataan dengan niat yang mungkin mengapikan kaum Melayu. — Awani

USAHAWAN berketurunan Kemboja dan anak lelakinya yang terbabit dalam kontroversi kenyataan mendakwa orang Melayu malas menerusi aplikasi TikTok baru-baru ini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka pada Khamis.

Media melaporkan dua beranak itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas menghadapi pertuduhan membuat kenyataan dan memulakan komunikasi jelik menghina orang Melayu sebagai malas di media sosial, bulan lalu.

Mengikut pertuduhan, Mariyah yang juga pemilik syarikat jahitan pukal, Mariyah Holdings Sdn. Bhd didakwa membuat satu penyataan dengan niat yang mungkin mengapikan kaum Melayu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, anak lelakinya, Ezuan Hafsyam Mohd. Hisyam, 22, turut didakwa dan membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Pemuda itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1908 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Mengikut pertuduhan Ezuan didakwa secara sedar menggunakan perkhidmatan aplikasi TikTok dengan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video yang memaparkan seorang perempuan iaitu ibunya mengatakan sesuatu yang jelik sifatnya dengan niat yang mungkin mengapikan kaum Melayu.

Sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Melaka, Ahmad Sazali Omar tidak mencadangkan sebarang jaminan, bagaimanapun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara beliau mencadangkan jaminan minimum RM30,000 bagi setiap tertuduh.

Pihak pendakwaan turut mencadangkan pasport dua beranak itu diserahkan kepada mahkamah selain memohon perintah untuk menghalang kedua-dua tertuduh mengeluarkan kenyataan berkaitan kes bagi mengelakkan gangguan sepanjang proses perbicaraan.

Peguam mewakili dua beranak itu, Kamal Hisham Ja'afar bagaimanapun merayu jumlah jaminan rendah dikenakan memandangkan perniagaan tekstil yang dijalankan oleh tertuduh terjejas selepas diboikot oleh pengguna susulan video yang tular berkenaan.

Ezuan pula merupakan seorang pelajar di sebuah universiti swasta yang berpangkalan di United Kingdom dan bergantung sepenuhnya kepada pendapatan ibunya itu.

Beliau turut merayu agar pasport kedua-dua tertuduh tidak perlu diserahkan kepada mahkamah dengan alasan wanita terbabit perniagaan wanita itu melibatkan urusan di luar negara, begitu juga pengajian anak lelakinya.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Mohd. Sabri membenarkan Mariyah dijamin sebanyak RM15,000, manakala anaknya RM10,000 dan membenarkan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.

Beliau menetapkan tarikh 12 Januari sebagai sebutan semula bagi kedua-dua kes. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram