SEPERTI yang ramai sedia maklum, pendaftaran untuk kredit RM100 program eMADANI boleh dibuat bermula Isnin hingga 20 Februari 2024.
Untuk rekod, Program eMADANI merupakan satu inisiatif kerajaan yang telah diumumkan di bawah kerangka ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’.
Program ini adalah kesinambungan kepada kejayaan program e-dompet kerajaan sebelum ini dan mempunyai objektif tiga serampang untuk memangkin pendapatan perusahaan mikro kecil sederhana (PMKS), menggalakkan pembayaran tanpa tunai dan memanfaatkan rakyat.
Program ini dijangka memanfaatkan lebih 10 juta rakyat Malaysia, melalui tawaran kredit eMADANI bernilai RM100 yang boleh digunakan bagi pembelian secara fizikal melalui penyedia perkhidmatan e-dompet yang terpilih.
1. Laman pautan yang mencurigakan
Untuk makluman hanya empat dompet digital yang akan menyertai dan menyokong inisiatif eMADANI ini.
Empat dompet digital berkenaan adalah MAE, Setel, ShopeePay dan juga Touch n Go eWallet. Pengguna boleh memilih salah satu dompet digital dan melakukan penebusan melaluinya.
Namun, anda harus waspada kerana tidak dinafikan wujud segelintir individu yang tidak bertanggungjawab akan cuba memanipulasi sistem secara dalam talian untuk 'merompak' kredit RM100 tersebut.
Apatah lagi apabila ia melibatkan warga yang kurang celik teknologi maklumat (IT) akan mudah menjadi sasaran menjadi mangsa penipuan ‘scam’ dan sekali gus hilang kredit eMADANI mereka.
Sehubungan itu, orang ramai harus sentiasa berwaspada terhadap sebarang kiriman mesej dengan pautan mencurigakan berkaitan program ini sama ada di WhatsApp atau pesanan khidmat teks.
Dalam masa sama mereka juga amatlah diminta untuk tidak menekan pautan tersebut bagi mengelakkan risiko kejadian tidak diingini berlaku tanpa sedar.
Golongan kurang celik IT akan mudah menjadi sasaran mangsa penipuan ‘scam’. — Gambar hiasan
2. Tidak boleh ditukar tunai
RM100 eMADANI hanya boleh digunakan untuk membuat pembayaran fizikal kod QR di mana-mana peniaga seluruh negara, termasuk peniaga-peniaga kod DuitNow QR dari bank dan e-dompet yang mengambil bahagian.
Selain itu, RM100 eMADANI tidak boleh digunakan untuk transaksi yang disenaraikan di bawah:
1.Pemindahan rakan ke rakan
2.Penebusan tunai
3.Pembayaran bil utiliti yang disepadukan dengan aplikasi e-tunai
4.Bayaran yuran berkaitan kerajaan yang disepadukan dengan aplikasi e-tunai
5.Bil pasca bayar dan prabayar telekomunikasi yang disepadukan dengan aplikasi e-tunai
6.Pembelian permainan yang disepadukan dengan aplikasi e-tunai
7.Pembayaran parkir dan/atau tol yang disepadukan dengan aplikasi e-tunai
8.Aktiviti berkaitan pelaburan yang disepadukan dengan aplikasi e-tunai transaksi e-dagang atau transaksi dalam talian Transaksi QR merentas sempadan
3. Akaun akan disekat sekiranya berlaku aktiviti yang mencurigakan
Kerajaan akan mengambil langkah tegas termasuk menyekat akaun yang terlibat dan melucutkan hak kredit penerima eMADANI jika terdapat laporan bagi mana-mana kes yang mencurigakan. — Gambar hiasan
Kementerian Kewangan juga mengeluarkan amaran dengan menyatakan mereka akan mengambil tindakan tegas, termasuk menyekat akaun yang terlibat dan melucutkan hak kredit penerima eMADANI – sekiranya terdapat laporan bagi mana-mana kes yang melibatkan pemindahan perseorangan (P2P) atau penebusan tunai.
Disamping itu, Kementerian Kewangan turut meminta orang ramai berhati-hati dan berwaspada dengan tawaran penebusan tunai atau pemindahan P2P ini, sekali gus mengelak daripada menjadi mangsa penipuan scam.
Menurut MOF, pihaknya juga tidak akan bertanggungjawab jika terdapat sebarang kehilangan kredit akibat daripada pemindahan P2P atau penebusan tunai itu, justeru orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dengan tawaran perkhidmatan berkenaan oleh pihak tidak bertanggungjawab di platform media sosial.
“Pihak Kerajaan akan mengambil langkah tegas termasuk menyekat akaun yang terlibat dan melucutkan hak kredit penerima eMADANI jika terdapat laporan bagi mana-mana kes yang melibatkan pemindahan P2P atau penebusan tunai,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram