Kisah kehidupan peribadi Altantuya yang mungkin ramai tak tahu


  • Massa
  • Sabtu, 02 Dis 2023

Altantuya yang berusia 28 tahun diculik dan dibawa ke sebuah kawasan terpencil di Puncak Alam dan dibunuh secara kejam.

KES pembunuhan wanita warganegara Mongolia, Altantuya Shaariibuu kembali mencuri perhatian selepas bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar yang didakwa terlibat dengan pembunuhan wanita tersebut membuat pendedahan dalam temu bual eksklusif bersama media antarabangsa, Aljazeera English’s 101 East sebelum ini.

Situasi itu menjadi semakin panas apabila bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula mendakwa beliau mempunyai bukti bahawa wanita yang dibunuh pada 2006 melibatkan seseorang yang berprofil tinggi.

Siapa Altantuya Shaariibuu?

Altantuya dilahirkan pada 6 Mei 1978, anak kepada Shaariibuu Setev, seorang profesor psikologi dan ibunya Sh Altantsetseg. Altantuya tinggal dan dibesarkan di St Petersburg, Rusia, sehingga berusia 12 tahun dan mendapat pendidikan di Beijing, China.

Mangsa juga dikatakan fasih berbahasa Mongolia, Inggeris, Rusia, Mandarin dan Perancis.

Pada masa sama, selain menjadi model sambilan, dia turut bekerja sebagai guru siswazah dan penterjemah serta jurubahasa di Ulaan Bataar.

Dia mempunyai dua anak, dengan dua pasangan berbeza dari Mongolia dengan anak lelaki bongsu Altantuya berumur empat tahun ketika dia dibunuh.

Kronologi kes pembunuhan Altantuya

32F8ECC1-71F3-4F05-9E5E-36035A683D0F

Altantuya dilaporkan hilang oleh sepupunya, Burmaa Oyunchimeg pada 19 Oktober 2006.

Mengimbau kembali, pada Oktober lalu, genap 17 tahun skandal pembunuhan Altantuya yang menggegarkan negara dan menjadikan Malaysia tumpuan seluruh dunia.

Altantuya dilaporkan hilang oleh sepupunya, Burmaa Oyunchimeg pada 19 Oktober 2006 ketika melawat Malaysia.

Pada 6 November, muncul berita melaporkan mayatnya ditemui.

Pada ketika itu, Altantuya yang berusia 28 tahun diculik dan dibawa ke sebuah kawasan terpencil di Puncak Alam, Selangor dan dibunuh secara kejam. Dia ditembak di kepala menggunakan senjata automatik. Mayatnya kemudian diletupkan dengan bahan letupan.

Pada hari berikutnya, pihak polis dilaporkan menangkap tiga pegawainya. Razak Baginda pula dilaporkan ditangkap pada 8 November tahun itu.

Minggu berikutnya, 15 November, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar dituduh membunuh Altantuya.

Pada hari berikutnya, Razak Baginda dituduh bersubahat dengan pembunuhan itu.

Apa hubungan Razak Baginda dengan Altantuya?

1899144

Razak Baginda dibebaskan daripada tuduhan bersubahat, selepas mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes.

Semasa perbicaraan, didedahkan bahawa hubungan Altantuya dan Razak Baginda bermula pada 2004, dan berakhir pada tahun berikutnya.

Ketika dia datang ke Malaysia pada 2006, Altantuya dilaporkan menuntut AS$500,000 (RM2.3 juta) daripada Razak Baginda sebelum menghilang.

Selain itu, Altantuya juga sempat membuat laporan polis beberapa jam sebelum dibunuh. Dalam laporan tersebut, dia memberitahu polis untuk menyemak dengan Razak Baginda jika sesuatu berlaku padanya.

Razak Baginda bagaimanapun dibebaskan daripada tuduhan bersubahat, selepas mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes.

Kes pembunuhan yang penuh kontroversi ini masih lagi menjadi misteri dan telah menimbulkan banyak persoalan rakyat Malaysia dan dunia.

Hanya pelakunya saja yang tahu akan apa sebenarnya yang terjadi dan siapa dalang yang bertanggungjawab di atas pembunuhan kejam ini. Sehinggalah ke hari ini, motif pembunuhan gadis Mongolia itu terus menjadi misteri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram