[VIDEO] E-tunai RM100 untuk lebih 10 juta rakyat bermula Isnin ini


  • Bizz
  • Khamis, 30 Nov 2023

Pendaftaran dan tuntutan kredit eMadani akan dibuka mulai Isnin 4 Disember hingga 20 Februari 2024 membabitkan empat aplikasi penyedia perkhidmatan e-dompet.

KERAJAAN bersetuju untuk menawarkan kredit e-tunai sebanyak RM100 kepada semua rakyat dewasa di negara ini bermula Isnin depan melalui inisiatif Emadani.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, e-kredit itu akan memberi manfaat kepada 10 juta individu berumur 21 tahun ke atas dengan nilai kos RM1 bilion.

"Seperti saya umumkan semasa peluncuran Ekonomi Madani, kerajaan akan melaksanakan program Emadani iaitu tawaran e-kredit tunai RM100 'one-off' kepada 10 juta rakyat dewasa yang layak dengan peruntukan RM1 bilion.

"Pendaftaran dan tuntutan kredit eMadani akan dibuka mulai Isnin 4 Disember hingga 20 Februari 2024 membabitkan empat aplikasi penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan pengguna," katanya ketika membentangkan Bajet 2024 untuk bacaan kali kedua di Dewan Negara pada Rabu.

Empat penyedia perkhidmatan e-dompet yang menyertai program berkenaan adalah MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet.

Kredit eMadani juga boleh dimanfaatkan oleh peruncit atau peniaga yang menerima pembayaran melalui kemudahan kod QR DuitNow menggunakan salah satu e-dompet terbabit dan tertakluk kepada transaksi yang dibenarkan.

Selain RM100 dalam bentuk kredit e-tunai daripada kerajaan, penyedia perkhidmatan e-dompet berkaitan akan memberi insentif tambahan dalam bentuk baucar, pulangan tunai, diskaun atau mata ganjaran sepanjang tempoh program berkenaan.

Untuk makluman, penggunaan kredit eMadani serta manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat hanya boleh dibelanjakan secara fizikal sahaja sehingga 29 Februari 2024.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram