[VIDEO] 'It's my personal life', Dian Sastrowardoyo komen kontroversi merokok, sanggup 'palau' kawan-kawan demi Gadis Kretek


  • Hiburan
  • Sabtu, 02 Dis 2023

Antara babak Dian sebagai Dasiyah dalam drama Gadis Kretek. — Netflix

TAYANGAN siri popular Netflix, Gadis Kretek mencetuskan fenomena pada ketika ini susulan watak Dasiyah atau Jeng Yah yang dibawakan oleh Dian Sastrowardoyo dalam drama tersebut meninggalkan kesan mendalam buat penonton.

Menerusi temu bual bersama tokoh media terkemuka, Datuk Seri Wong Chun Wai, akstres Indonesia berusia 41 tahun itu, berkongsi serba sedikit persediaan dalam membina karakter Dasiyah.

"Untuk menghidupkan watak Jeng Yah, saya berhenti bersosial serta tidak berjumpa dengan rakan-rakan yang lain kecuali keluarga selama enam hingga tujuh bulan.

"Malah, ketika suami dan anak tidak berada di rumah, saya akan cuba bersendirian serta menghabiskan masa mendengar muzik gamelan dan klasik Indonesia semata-mata untuk mendalami watak utama berkenaan.

"Ia bukan mudah, kerana saya suka bersosial tapi lama-kelamaan saya menyukai keadaan tersebut," katanya.

Siri TV yang dikeluarkan oleh Netflix pada 2 November lalu ini telah pun mendapat tontonan yang tinggi bukan sahaja di Indonesia dan Malaysia malah di Latin Amerika. — Netflix

Siri TV yang dikeluarkan oleh Netflix pada 2 November lalu ini mendapat tontonan tinggi bukan sahaja di Indonesia dan Malaysia malah di Latin Amerika. — Netflix

Dian yang turut mencipta nama menerusi watak Kartini, seorang srikandi pejuang pembebasan Indonesia mengakui, persiapan sama dilakukan olehnya demi menjayakan watak Dasiyah.

Kongsi selebriti terkenal Indonesia itu lagi, beliau berlatih dengan gigih untuk berjalan seperti wanita Jawa yang dihormati, anggun dengan perawakan tertentu.

"Saya turut mengambil kelas 'Suzuki Walk' (untuk) belajar berjalan dengan perlahan seperti yang anda saksikan pada watak Jeng Yah.

"Pada mulanya agak susah dan kaki saya sakit. Saya mengambil masa berbulan-bulan untuk berjalan seperti itu,” katanya.

Pada masa sama, aktres jelita itu turut memberitahu suaminya, Maulana Indraguna Sutowo memberikan sokongan penuh terhadapnya, namun beliau enggan menonton lakonannya dalam hasil karya terbaharu itu.

"(Suami) tidak menonton siri pendek Netflix tersebut dan kami juga sudah berbincang mengenainya.

Dian memegang watak sebagai Dasiyah dalam Gadis Kretek.

Dian memegang watak sebagai Dasiyah dalam Gadis Kretek. — Netflix

"Untuk kali ini, dia hanya memberi sokongan terhadap kerjaya saya tetapi tidak mahu melihat lakonan dalam drama itu. Mungkin pada masa akan datang dia akan menonton karya saya yang lain," katanya.

Dian bagaimanapun tidak mahu berkongsi alasan sebenar di sebalik kisah itu.

Bercerita lanjut, Dian memberitahu siri berkenaan juga sedang ditayangkan di Argentina, Peru, Brazil, Puerto Rico dan Romania.

"Siri berkenaan kini sedang ditayang di beberapa negara Amerika Selatan. Saya tidak menyangka Gadis Kretek mendapat sambutan di sana.

"Mungkin kalau sekarang kita menjual baju kebaya di Romania akan mendapat sambutan di sana," kata Dian sambil berseloroh.

Pelakon filem Ada Apa Dengan Cinta itu turut meluahkan rasa syukur atas sokongan penuh yang diberikan oleh peminatnya di Malaysia, Singapura dan Brunei terhadap drama siri berkenaan.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau menghisap rokok, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Deauville itu enggan mengulas lanjut mengenai pertanyaan tersebut.

"Saya tidak akan menjawab soalan itu. It is my personal life (Ia kehidupan peribadi saya).

"Tetapi seperti yang anda lihat dalam siri Netflix itu, sudah tentu saya merokok," jelasnya.

Selain Dian, drama bersiri tersebut turut menampilkan Ario Bayu, Arya Saloka, Putri Marino, Tissa Biani, Ine Febriyanti, Winky Wiryawan, Sheila Dara, Ibnu Jamil, Rukman Rosadi, Nungki Kusumastuti, Dimas Aditya, Pritt Timothy dan Tutie Kirana.

Gadis Kretek arahan Kamila Andini dan Ifa Isfansyah diadaptasi daripada buku tulisan Ratih Kumala diterbitkan pada 2012 oleh Gramedia Pustaka Utama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram